Read Time:3 Minute, 15 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang guru memberitahu Mahkamah Koroner bahawa perbuatan buli melibatkan tindakan yang dilakukan untuk menyakiti seseorang berulang kali dalam suatu tempoh.
Nor Asimah Zaiton, saksi ke-55, meneruskan keterangannya hari ini di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Beliau berkata, beliau mendengar definisi buli itu diulang setiap hari oleh seorang penyampai (DJ) Sabah FM, dan pemahamannya adalah berdasarkan penjelasan stesen radio itu serta prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau menjawab soalan peguam Shahlan Jufri mengenai definisi buli dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Peguam: Sebagai warden, apa yang cikgu faham dengan buli?
Saksi: Buli adalah satu perbuatan atau perkataan bertujuan untuk menyakiti seseorang secara berulang-ulang.
Peguam: Maksud cikgu berulang-ulang?
Saksi: Ia bukan dilakukan sekali. Maksudnya ia dilakukan berkali-kali pada masa yang tertentu. Ia berulang-ulang…it can be week, it can be month, it can be years
Peguam: Berdasarkan jawapan cikgu. Kalau saya menampar anak perempuan cikgu sekali. Adakah itu bukan buli cikgu?
Saksi: Tidak.
Peguam: Maksudnya saya perlu menampar anak cikgu 10 atau 20 kali berulang-kali baru dikira buli cikgu.
Saksi:: Betul.
Shahlan: Cikgu, kalau saya memaki anak cikgu sekali, adakah itu bukan buli cikgu?
Saksi: Tuan, definisi buli ini saya dengar setiap hari. Di Sabah FM, diulang-ulang. Jadi perkataan berulang-ulang itu ada disebut oleh DJ Sabah FM. Ataupun siaran Sabah FM itu.
Peguam: Maksudnya, definisi buli bagi cikgu, cikgu merujuk kepada stesen radio dan bukannya SOP yang dikeluarkan oleh KPM Betul cikgu?
Saksi:Adakah Sabah FM salah memberi definisi?
Peguam: Okey, kita teruskan. Antara guideline KPM dengan Sabah FM. Yang mana patut cikgu ikut?
Saksi: Kedua-duanya.
Peguam: Jadi sekiranya saya pijak anak cikgu di sekolah, sekali. Cikgu akan menjawab, “Nak, itu bukan buli nak. Sebab itu bukan berulang-ulang. Jangan risau, teruskan ke sekolah. Betul cikgu?
Saksi: Memang itu bukan buli. Tetapi saya akan ambil tindakan membuat laporan kepada pihak sekolah agar perbuatan ini tidak diulang lagi.
Peguam: Kalau itu bukan buli, kenapa buat laporan cikgu?
Saksi: Perbuatan memijak itu bukan perbuatan yang baik tuan. Adakah kita akan membiarkan?
Peguam: Tapi cikgu punya jawapan tadi buli adalah perbuatan yang menyakiti seseorang berulang kali. Saya baru pijak anak cikgu sekali.
Saksi: Seperti yang saya kata, memang itu bukan buli.
Beliau turut memberi keterangan bahawa beliau dan pihak pentadbir sekolah telah melawat ibu Zara Qairina pada 22 Julai.
“Tujuan lawatan tersebut adalah untuk menyantuni Ibu Zara dan menyatakan mohon maaf dari pihak sekolah. Seterusnya adalah untuk memberi maklum balas mengenai permintaan Ibu Zara mengenai salinan laporan polis yang dibuat oleh Ustaz Azhari pada pagi itu. Jadi, sepanjang perjumpaan kami di rumah Ibu Zara, hanya Pengetua Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) dan Ustaz Azhari yang bercakap,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan perbincangan adalah mengenai salinan laporan tersebut.
“Salinan laporan tersebut tidak ada dalam simpanan sekolah kerana seingat saya Ustaz Azhari menyatakan bahawa laporan itu telah diserahkan di Balai Polis Kepayan,” katanya sambil menjelaskan pertemuan itu adalah pertemuan singkat kerana hari pun telah petang.
Menjawab soalan lain, Asimah berkata beliau tidak pasti sama ada pihak sekolah telah memberi taklimat atau memaklumkan kepada ibu Zara tentang apa yang berlaku sebelum pelajar itu ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sekolah.
Asimah juga berkata beliau tidak pasti sama ada pengetua memaklumkan kepada ibu Zara Qairina bahawa kejadian itu merupakan kes polis.
Menjawab soalan lain, saksi mengesahkan terdapat perbincangan di kalangan guru mengenai kes Zara termasuk insiden pelajar-pelajar senior yang berjumpa Zara pada malam kejadian; isu keadaan mental Zara dan berita media sosial tular berkenaan kandungan buku diairi Zara; dan reaksi para guru terhadap kandungan makian Zara terhadap Mama Zara dalam diari.
Ketika ditanya mengenai butiran perbincangan dalam group whatsapp guru, Asimah saksi berkata beliau “tidak dapat pastikan”. Namun saksi ingat jelas kandungan media sosial tular tersebut kerana ada membaca dan mendengar tentangnya.
Saksi beberapa kali enggan menjawab soalan peguam berkenaan perincian perbincangan tersebut.
Inkues bersambung.






