Read Time:2 Minute, 25 Second
KOTA KINABALU: Bekas guru sekolah rendah Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir sebak mengimbau kenangan bersama arwah ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner, hari ini.
Saksi ke-63, Nurain Jabah, yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, menyifatkan Zara sebagai seorang pelajar yang sihat dan ceria.
Menurutnya, kali terakhir beliau bertemu Zara adalah pada Mei 2025.
“Saya tidak dapat membayangkan perasaan saya apabila mengetahui apa yang berlaku kepada Zara. Kami sangat rapat ketika dia menjadi murid saya. Pada mulanya saya tidak dapat menerima kenyataan itu kerana kami merancang untuk melawat Zara di hospital selepas selesai satu program di sekolah.
“Namun, mak cik Zara kemudian memaklumkan bahawa Zara telah meninggal dunia. Saya sangat sedih dan tidak pernah menyangka murid yang saya ajar, yang sihat dan ceria, akan berakhir seperti itu,” katanya.
Menurut saksi, pada pertemuan terakhir mereka, Zara datang ke sekolah untuk menemuinya dan memaklumkan bahawa dia berada dalam keadaan baik di sekolah menengah.
“Saya menasihatinya supaya tidak lupa solat dan menghormati guru-guru. Zara memberitahu saya bahawa dia tidak dibuli, semuanya baik-baik sahaja dan rakan-rakannya melayannya dengan baik,” katanya.
Nurain turut memberitahu mahkamah bahawa Zara seorang yang peramah dan gemar berkongsi masalah dengannya, termasuk apabila menghadapi salah faham dengan rakan-rakan.
“Dia selalu bertanya kepada saya apa yang perlu dia lakukan,” katanya.
Menjawab soalan peguam, Shahlan Jufri, saksi berkata hubungan Zara dengan ibunya sangat rapat dan ibunya, Noraidah Lamat, merupakan individu yang menghantar dan menjemput Zara dari sekolah.
Saksi turut memaklumkan bahawa Zara sering menawarkan diri untuk menyertai aktiviti sekolah seperti bercerita, mengalunkan bacaan al-Quran dan menyanyikan nasyid.
“Zara pernah terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan bercerita sehingga ke peringkat daerah dan saya sendiri yang melatihnya,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Agama Negeri, Nur Hidayah Mohamad, berkata beliau mengenali Zara sejak kecil melalui hubungan kekeluargaan, selain mengenalinya secara profesional sebagai pelajar dari Tahun Satu hingga Tahun Enam.
Saksi ke-64 itu juga menyifatkan Zara sebagai seorang murid yang peramah, ceria, suka membantu rakan, dan sering membawa murid lain yang menghadapi masalah kecil untuk mendapatkan bantuan guru.
Saksi menyatakan hubungan Zara dengan guru adalah baik dan menghormati autoriti, serta menunjukkan sifat manja yang positif di sekolah.
Dari segi akademik, saksi menyatakan Zara konsisten berada dalam kalangan murid terbaik, dengan bacaan al-Quran dan hafazan yang baik mengikut piawaian sekolah agama.
Saksi mengesahkan Zara aktif dalam aktiviti kokurikulum, khususnya bercerita kisah nabi, dan pernah mewakili sekolah ke peringkat daerah.
Saksi menyatakan ibu Zara sangat terlibat dalam urusan sekolah dan hubungan mereka sebagai ibu-anak adalah sangat rapat.
Berkaitan keadaan emosi, saksi menyatakan beliau tidak pernah melihat arwah murung, dan arwah tidak pernah mengadu masalah peribadi atau keluarga kepada saksi.
Dalam perkembangan lain, Mahkamah Koroner memutuskan untuk menangguhkan lawatan ‘locus in quo’ ke sekolah yang dijadualkan pada Jumaat ini selepas perbincangan dengan semua pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan.
Mahkamah juga memutuskan untuk menyambung prosiding Inkues selepas bulan Ramadhan pada 31 Mac.






