Read Time:1 Minute, 28 Second
KOTA KINABALU: Pelaksanaan inkues di Sabah menggunakan Kanun Tatacara Jenayah (CPC) oleh Hakim Mahkamah Sesyen disifatkan sebagai satu kesilapan undang-undang yang serius dan melibatkan kecacatan bidang kuasa, menurut seorang pakar perundangan Sabah yang enggan namanya disiarkan.
Menurut beliau, CPC tidak terpakai ke atas prosiding inkues di Sabah kecuali jika diperluaskan secara nyata melalui undang-undang Persekutuan, yang setakat ini tidak pernah dilakukan.
“Sabah sejak sekian lama mempunyai undang-undang khas tersendiri mengenai inkues, iaitu Inquest Ordinance (Sabah Cap. 17) yang masih berkuat kuasa di bawah Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi oleh Sabah Media.
Beliau menjelaskan bahawa di bawah Ordinan tersebut, hanya seorang Majistret mempunyai kuasa undang-undang untuk menjalankan prosiding inkues, bukannya Hakim Mahkamah Sesyen seperti yang diperuntukkan di bawah CPC bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
“Sekiranya sesuatu inkues dijalankan oleh Mahkamah Sesyen menggunakan prosedur CPC, ia adalah ‘ultra vires’, iaitu dilakukan tanpa kuasa sah di sisi undang-undang, dan boleh dibatalkan,” tegasnya.
Menurut beliau lagi, kesilapan tersebut bukan sekadar kecacatan prosedur atau kesilapan teknikal, sebaliknya merupakan kecacatan bidang kuasa yang menjejaskan keabsahan keseluruhan prosiding.
“Ini bukan isu kecil. Ia adalah kecacatan pada akar umbi prosiding itu sendiri. Apa-apa keputusan yang terhasil daripada prosiding yang tidak mempunyai bidang kuasa adalah terdedah untuk dicabar dan diketepikan,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak berkuasa berkaitan supaya lebih berhati-hati dan memastikan kerangka undang-undang yang terpakai di Sabah dipatuhi sepenuhnya, khususnya dalam prosiding yang melibatkan hak asasi, kematian, dan kepentingan awam.
“Sabah mempunyai keunikan perundangan tersendiri hasil sejarah perundangannya sebelum pembentukan Malaysia. Keunikan ini perlu dihormati dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa kegagalan mematuhi Ordinan Inkues Sabah boleh membuka ruang kepada cabaran kehakiman, semakan semula, malah kemungkinan tuntutan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.






