Read Time:1 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU: Seorang ibu tunggal didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki produk tidak berdaftar dan kosmetik tanpa notifikasi.
Hakim Zaini Fishir menjatuhkan hukuman denda tersebut ke atas Khairunisa Anastasha, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan.
Mahkamah mengenakan denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan atau 30 hari penjara sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.
Bagi pertuduhan pertama Khairunisa yang merupakan pemilik kedai memiliki 16 produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan pada 27 September 2024 lebih kurang jam 2.05 petang di Lisa Queen Empire Jalan Tuaran, dekat sini.
Bagi pertuduhan kedua, Khairunisa mengaku memiliki 15 jenis kosmetik tanpa notifikasi di tempat dan masa yang sama.
Kesalahan pertama dilakukan di bawah Subperaturan 30(1), manakala pertuduhan kedua di bawah Subperaturan 18A(15) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Kedua-dua kesalahan boleh dihukum di bawah Subseksyen 12(1), Akta Jualan Dadah 1952, dengan denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Semasa rayuan, Khairunisa yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan beliau memikul tanggungjawab kewangan sebagai seorang ibu tunggal.
“Saya hanyalah seorang ibu tunggal mencari rezeki untuk menanggung anak dan membantu serta menyara ibu bapa saya serta adik yang masih bersekolah. Sekiranya dikenakan denda yang terlalu tinggi, saya tidak mampu, lagipun saya baru mendapat kerja dan tidak mempunyai wang simpanan buat masa ini,” katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sambil memaklumkan bahawa sebanyak 31 jenis produk telah disahkan tidak berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara, bernilai RM 11,076.
Pendakwaan menegaskan produk-produk tersebut tidak diuji dan dinilai oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, menjadikan kualiti dan keselamatan kosmetik tersebut diragui.
“Oleh itu, penggunaan produk tidak berdaftar berpotensi menimbulkan risiko kesan sampingan kepada orang awam,” katanya






