Read Time:1 Minute, 5 Second
KOTA KINABALU: Seorang ibu kepada saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner bahawa anaknya agak emosi, tertekan dan menangis teresak-esak ketika memaklumkan kepadanya kejadian yang menimpa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Saksi berusia 41 tahun itu berkata anaknya, yang merupakan saksi ke-65, memberitahu kepadanya bahawa rakannya iaitu arwah Zara telah terjun bangunan asrama dan memintanya untuk mendoakan rakannya tersebut.
Perkara itu dimaklumkan kepadanya pada 16 Julai 2025, sewaktu berada di Stadium Hoki Likas untuk pertandingan hoki.
Bagaimanapun, menurut saksi ke-66, anaknya tidak menceritakan dengan lebih lanjut pada masa itu.
“Hampir tiga bulan kemudian, barulah anak saya menceritakan apa yang terjadi dengan lebih lanjut apa yang dia tahu berkenaan kejadian tersebut. Dia menceritakan kepada saya tentang suatu kejadian yang berkait dengan kes kematian Zara. Menurut anak saya, pada 15 Julai 2025 beliau telah berjanji untuk berjumpa dengan rakannya di Blok A selepas waktu prep, tetapi beliau tertidur. Pada jam lebih kurang 1 pagi, anaknya telah terjaga dari tidur dan beliau telah pergi ke Blok A berjumpa dengan rakannya.
“Anak saya memberitahu bahawa semasa beliau mahu balik ke bilik nya semula di Blok B, beliau ternampak kelibat seorang pelajar perempuan berlegar-legar di aras 3 Blok A,” kata saksi ke-66 ketika membacakan kenyataan saksinya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.
BERITA LANJUT MENYUSUL….






