Read Time:2 Minute, 27 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini mendengar bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dan ibunya mempunyai hubungan yang baik.
Saksi kanak-kanak ke-25, yang juga merupakan deponen ke-34 dalam inkues kematian Zara, menjelaskan bahawa dia pernah menyaksikan Zara dan ibunya berada dalam hubungan yang baik sekitar Mei 2025.
“Pada sekitar bulan Mei 2025, saksi pernah ikut Zara balik hujung minggu untuk tidur di rumah Zara di Sipitang. Saksi tinggal di rumah Zara selama dua malam.
“Saksi berkata semasa dia di rumah Zara, dia nampak hubungan Zara dan Mama Zara adalah baik,” kata pasukan guaman ibu Zara yang diketuai oleh Shahlan Jufri.
Menurut Shahlan, antara aktiviti semasa bermalam di rumah Zara adalah membuat kerja rumah, dan Mama Zara bawa saksi dan Zara jalan-jalan ke Pekan Sipitang.
“Mama Zara pernah bawa saksi minum di kafe Zus Coffee dan restoran ‘Iman Corner’ di Pekan Sipitang.
“Saksi mengesahkan Mama Zara pernah mencuci dan menyeterika pakaian saksi dan saksi mengucapkan terima kasih kepada Mama Zara.
“Sebelum pulang ke asrama, saksi berkata Mama Zara ada memberi wang dan makanan kepada saksi,” katanya.
Menurut Shahlan lagi, seingat saksi, pada siang hari 15 Julai 2025 di sekolah ada insiden di mana sebuah spot check dilakukan berkenaan kehilangan duit saksi sebanyak RM21.
Saksi menyatakan telah melaporkan kehilangan duit kepada seorang guru yang membenarkan sesi spotcheck dilakukan.
“Guru menyuruh seorang pelajar junior yang rapat dengan Zara buat spot check. Selepas spot check, tidak ada duit saksi yang dijumpai dengan Zara.
“Namun saksi berkata dia mengesyaki Zara mengambil duitnya dan ada bertanya Zara samada dia ada jumpa duit tersebut atau tidak. Zara berkata “Nda nampak ba duit tu”,” katanya.
Shahlan berkata, pada hari yang sama juga (15 Julai) apabila saksi sampai di dorm, satu spot check telah dijalakan keatas locker dan beg Zara.
“Saksi mengatakan dompet Zara telah diperiksa dan duit telah dijumpai. Saksi telah mengatakan bahawa dia mengambil duit dari dompet Zara kerana duit tersebut adalah duitnya.
“Saksi juga berkata Zara berbaring di atas lantai sambil menangis. Zara turut menjerit dan berkata “Aku nda curi bah, sial.”
“Sebelum tidur pada malam 15 Julai, saksi berkata Zara datang ke hujung bilik dan meminta gunting daripada beberapa pelajar junior termasuk saksi. Saksi tidak memberikan apa-apa kerana memang tidak mempunyai gunting.
“Selepas itu, saksi terus tertidur dan hanya terjaga apabila keadaan sudah kecoh di asrama. Ketika itu Zara sudah dibawa oleh ambulans,” katanya.
Shahlan berkata, menurut saksi, dia tidak perasan sama ada Zara masuk ke bilik dorm lain malam itu. Saksi juga tidak tahu jika pelajar senior selalu berjumpa Zara. Tetapi saksi ingat mengenai perkara perjumpaan Zara dengan pelajar senior pada malam kejadian 15 Julai.
“Saksi pernah melihat Zara menulis di dalam diari berkulit hijau gelap, antaranya tentang impian Zara mahu menjadi Badar (pengawas surau) kerana ingin jadi seperti idolanya seorang pelajar senior.
“Sepanjang pengetahuan saksi, Zara tidak pernah menunjukkan tanda dibuli, dimarahi atau tertekan, dan tidak pernah mengadu apa-apa masalah kepadanya,” katanya.






