Read Time:1 Minute, 33 Second
Oleh Rhea Dharmin
KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) berpandangan hubungan baik di antara kerajaan negeri dan Persekutuan harus dikekalkan.
Presiden PCS, Tan Sri Anifah Aman menyifatkan adalah sia-sia sekiranya kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk bermusuh dengan kerajaan Persekutuan.
“Satu ketika dahulu, saya menentang Kuala Lumpur (kerajaan Persekutuan) tapi akhirnya yang berkuasa bukan kita tapi Kuala Lumpur. Apabila kita mengkehendaki sesuatu, kita terpaksa bekerjasama dengan Persekutuan.
“Kenapa (jalin kerjasama dengan) Pakatan Harapan (PH)? PH daripada hemat saya, pengerusinya adalah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Misalnya Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri Sabah) bermusah dengan Perdana Menteri, Sabah bermusah dengan kerajaan Persekutuan, akhirnya kita juga yang akan menerima (padah).
“Ini bukan senang untuk jelaskan kepada rakyat apa matlamat yang kita harus utamakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi Forum Khas GRS sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 bertempat di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anifah yang juga merupakan bekas Menteri Luar itu turut menegaskan bahawa adalah penting bagi memastikan keamanan dan kestabilan politik bagi mengukuhkan ekonomi di Sabah.
Menurutnya, Sabah sering kali dilaporkan berdepan isu seperti konflik laut China Selatan dan kebanjiran pendatang tanpa izin (PATI) terutamanya di kawasan pantai timur negeri ini.
Katanya, tanpa keamanan di sesebuah negeri dan kestabilan politik akan menjejaskan peluang untuk pelabur datang membuat pelaburan.
“Kita semua tahu keamanan adalah penting dalam geopolitik semasa. Berdasarkan asas garis masa sekarang, Sabah mesti kekal stabil.
“Keamanan penting untuk kita terus berkembang dalam ekonomi. Sabah mempunyai posisi strategik tetapi sensitif (terutamanya) di kawasan pantai timur .. menangani PATI satu-satunya masalah kita. Satu ketika dahulu pelancong enggan datang ke Sabah kerana insiden yang pernah berlaku.
“Tidak ada pelabur akan melabur kalau (sesebuah) tempat itu tidak aman.
“Tanggungjawab kita kalau mahu pelabur datang, kita harus berusaha bukan sahaja (memastikan) keamanan tapi juga kestabilan,” katanya.