Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Hospital baharu Ranau keperluan mendesak – Masidi

Read Time:1 Minute, 42 Second

RANAU :  Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun, menggesa Kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan peruntukan bagi pembinaan hospital baharu di Ranau bagi menampung keperluan kesihatan penduduk yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Masidi berkata hospital sedia ada tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit, selain kekurangan kemudahan rawatan pakar yang menyukarkan penduduk mendapatkan rawatan lengkap tanpa perlu ke Kota Kinabalu.

Menurutnya, isu tersebut turut disuarakan secara langsung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika beliau mengiringi lawatan PM ke Tawau baru-baru ini.

“Saya maklumkan kepada Perdana Menteri bahawa hospital baharu di Ranau ini bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan mendesak. 

“Penduduk memerlukan fasiliti kesihatan moden, lengkap dengan doktor pakar serta peralatan canggih untuk rawatan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Santai Santai Bersama Warga Emas anjuran NGO Persatuan Warga Emas Kampung Muhibbah, di sini.

Masidi turut menekankan pentingnya hospital baharu itu dilengkapi dengan peralatan kesihatan berteknologi tinggi, termasuk mesin pengimbas kanser bagi mengesan penyakit pada peringkat awal.

“Jika ada mesin pengimbas kanser di Ranau, pesakit tidak perlu lagi berulang-alik ke Kota Kinabalu. 

“Ia menjimatkan masa, kos dan dapat membantu meningkatkan kadar pengesanan awal penyakit kanser,” katanya.

Dalam ucapannya, Masidi turut menegaskan bahawa kestabilan politik membolehkan kerajaan negeri meneruskan agenda kebajikan rakyat.

Menurutnya, sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan, kerajaan negeri akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan miskin tegar berdaftar, di mana setiap keluarga akan menerima RM300 pada tahun hadapan.

“Bantuan ini dapat dilaksanakan kerana kita memiliki kerajaan yang stabil. Jika kestabilan dikekalkan, lebih banyak pembangunan dapat kita bawa ke Sabah,” ujarnya.

Masidi turut menyentuh beberapa projek pembangunan besar yang sedang berjalan di Ranau termasuk pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), projek jalan raya baharu yang dijangka siap tidak lama lagi serta pelbagai lagi infrastruktur untuk manfaat rakyat.

Dalam program santai itu, Masidi turut meluangkan masa beramah mesra, bertanya khabar serta bergambar bersama warga emas yang hadir.

Majlis tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan penuh penghargaan, mencerminkan komitmen beliau terhadap kesejahteraan golongan berusia serta masyarakat Ranau secara keseluruhan. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE