Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Homestay Kundasang perlu naik taraf fasiliti dan keselamatan – Johari


Read Time:1 Minute, 19 Second

KUNDASANG : Pengusaha Inap Desa atau ‘Homestay’ di daerah ini diseru agar melaksanakan penambahbaikan berterusan khususnya dalam aspek kemudahan dan keselamatan penginapan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah Johari @ Joe Suhaimin berkata, langkah itu adalah bagi menjamin keselesaan serta kesejahteraan para pelancong yang berkunjung ke kawasan tersebut.

“Seiring dengan peningkatan jumlah pelancong ke Kundasang dan pembangunan pesat kawasan ini, keperluan menaik taraf fasiliti dilihat semakin mendesak.

“Antara aspek yang perlu diberi perhatian termasuk penyediaan tempat letak kereta yang mencukupi, tahap keselamatan bangunan penginapan serta kemudahan asas yang selesa dan mesra pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Homestay Walai Tokou Kundasang Berhad 2026 di sini baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Koperasi Homestay Walai Tokou Kundasang Berhad Kohadie Watiman.

Johari yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kundasang berkata, langkah itu juga mampu meningkatkan keyakinan pengunjung terhadap penginapan berkonsepkan komuniti yang ditawarkan oleh koperasi.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, langkah itu juga dapat membantu koperasi bersaing secara sihat dengan penginapan komersial lain yang semakin berkembang di sekitar Kundasang.

Sementara itu, Johari berkata, koperasi turut digalakkan untuk memanfaatkan teknologi digital dalam usaha pemasaran serta pengurusan tempahan bagi menepati keperluan semasa industri pelancongan.

Katanya, peningkatan kualiti perkhidmatan melalui latihan berterusan kepada ahli juga dilihat sebagai antara langkah penting dalam memperkukuh imej dan daya saing koperasi.

“Sehubungan itu, pihak koperasi diseru agar sentiasa terbuka terhadap perubahan, memperkukuh tadbir urus serta melaksanakan perancangan strategik yang mampan.

“Usaha ini diyakini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelancong, malah turut menjamin kelangsungan koperasi serta kesejahteraan ahli-ahlinya dalam jangka Panjang,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE