Read Time:1 Minute, 23 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Permohonan komital bagi prosiding penghinaan mahkamah terhadap Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan pempengaruh, Che Muna Din, akan didengar di Mahkamah Koroner di sini pada 1 Disember ini.
Kes tersebut melibatkan kenyataan mereka di media sosial mengenai kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), selaras dengan kebenaran Mahkamah bertarikh 23 Oktober 2025, kertas kausa bagi permohonan komital atas penghinaan Mahkamah telah diserahkan kepada Shafie Apdal pada petang 3 November 2025 di Tawau, Sabah.
Sementara itu, dokumen yang sama telah diserahkan kepada Mona Din pada awal pagi 1 November 2025 di kediamannya di Shah Alam.
Sehubungan itu, kedua-dua responden dikehendaki menjawab pernyataan menurut Aturan 52 Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 (Order 52 Rule 3(2) Rules of Courts 2012) serta afidavit-afidavit sokongan dalam tempoh 14 hari.
Pada 23 Oktober lalu Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan Peguam Negara (AG) untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap bekas Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dan Mona Din.
Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan kebenaran itu selepas mendengar hujah daripada Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalan dan Nadia Mohd Izhar.
Dalam permohonan ex-parte mereka, Mustaffa menyatakan bahawa Notis Tunjuk Sebab telah diserahkan kepada Shafie pada 23 September, manakala kepada Mona Din pada 10 September.
Walaupun responden telah memberikan surat jawapan berkenaan dan tidak menafikan membuat kenyataan seperti yang terkandung dalam hantaran tersebut, mereka gagal memberikan penjelasan memuaskan terhadap Notis Tunjuk Sebab masing-masing, sekali gus membawa kepada permohonan untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah.
LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2025/10/23/hina-mahkamah-mahkamah-benarkan-permohonan-ag-terhadap-shafie-mona-din/






