Read Time:1 Minute, 54 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa, menegaskan bahawa beliau bertanding atas keupayaan sendiri, bukan bersandarkan pengaruh bapanya, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Hazem, 43, yang juga seorang usahawan dan pengarah syarikat perladangan sawit, berkata beliau berhasrat untuk menawan semula kerusi Sungai Manila dan menyumbang kepada kekuatan GRS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17.
“Saya terutama sekali ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Hajiji Noor kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk bertanding di DUN Sungai Manila. Hasrat kami adalah untuk merampas kerusi ini dan menyumbang kepada Gabungan Rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui Sabah Media selepas Majlis Pengumuman Calon GRS, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Menurutnya, perjuangan itu bukan sekadar untuk kemenangan politik semata-mata, tetapi juga sebagai kesinambungan kepada legasi dan usaha pembangunan yang pernah digerakkan oleh Tun Musa Aman di kawasan berkenaan.
“Masih banyak yang perlu dilakukan, terutama dari segi pembangunan asas seperti pembaikan jalan raya dan penyelesaian masalah air yang belum selesai,” katanya.
Hazem yang telah aktif dalam politik sejak beberapa tahun lalu berkata, pelantikannya sebagai Ketua Bahagian Gagasan Rakyat tiga tahun lalu memperkukuh tekadnya untuk turun padang mendekati rakyat.
Ditanya mengenai pesanan ayahnya, Tun Musa Aman, Hazem mengakui banyak menerima nasihat berguna daripada mantan Ketua Menteri itu.
“Antara pesanan beliau ialah, jika mahu menceburi dunia politik, saya mesti bekerja keras, membela nasib rakyat dan sentiasa mendengar keluhan mereka. Itu amanah yang saya pikul dan jika diberi mandat, saya akan bekerja untuk rakyat,” katanya.
Selain beliau, beberapa ahli keluarganya juga aktif dalam politik, termasuk abangnya yang bertanding di DUN Sindumin, serta pakciknya yang juga calon di DUN Bongawan.
Namun, Hazem menegaskan bahawa pengaruh keluarga bukan penentu kejayaan dalam politik.
“Yang penting ialah calon itu sendiri, sama ada dia mampu bekerja untuk rakyat dan membawa pembaharuan di kawasan masing-masing. Itu yang utama,” katanya lagi.
Mengulas mengenai statusnya sebagai anak kepada Yang di-Pertua Negeri, Hazem menjelaskan bahawa ia tidak memberi sebarang kelebihan dalam kempen.
“TYT tidak boleh terlibat dalam urusan politik dan tidak boleh berkempen, malah beliau juga tidak mengundi. Jadi bagi saya, tiada kelebihan. Saya berdiri atas nama sendiri, bukan atas kedudukan keluarga,” katanya tegas.






