Read Time:1 Minute, 58 Second
KOTA KINABALU : Penganjuran Hari Keusahawanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Daerah Kota Kinabalu 2025 berupaya mendukung nilai pembangunan insan dan ekonomi secara seimbang.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, sebagai bandar raya yang sedang menuju ke arah Kota Kinabalu Smart City 2030, pihaknya amat menyambut baik penganjuran program berkenaan.
Katanya, program itu jelas menunjukkan kesungguhan pihak pendidikan dalam menyahut aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkukuh TVET di samping memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan generasi muda.
“Saya juga amat menghargai pendekatan inklusif yang diterapkan dalam program ini, yang turut melibatkan murid prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta, serta Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).

“Pendekatan seperti ini selaras dengan semangat Malaysia MADANI, yang menekankan nilai kesejahteraan, inklusiviti dan peluang saksama kepada semua.
“Ia menunjukkan bahawa keusahawanan bukan hanya milik mereka yang sudah matang dalam usia, tetapi boleh disemai seawal bangku sekolah lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Hari Keusahawanan TVET 2025 di Lintasan Deasoka di sini pada Sabtu.
Sabin berkata, Kota Kinabalu memerlukan generasi pelapis yang bukan sahaja mahir bekerja, tetapi juga berfikir secara usahawan, berani mencipta, serta inovatif dalam mencari peluang baharu.
Menurutnya, program seumpama ini dapat memainkan peranan penting sebagai lapangan sebenar yang menghubungkan dunia pendidikan dengan dunia pekerjaan dan ekonomi sebenar.
“Melalui aktiviti seperti penghasilan produk, strategi promosi, dan pengurusan jualan, pelajar didedahkan kepada pengalaman sebenar yang membentuk kemahiran insaniah dan kebijaksanaan berniaga.
“Penglibatan dalam aktiviti keusahawanan bukan sahaja dapat melahirkan modal insan yang berjaya dan berdaya saing, malah berperanan sebagai benteng yang mampu menghindarkan golongan muda daripada terjebak dalam pelbagai gejala sosial yang kian menular pada masa kini,” katanya.
Justeru katanta, inisiatif seperti itu bukan sekadar mendidik pelajar dalam aspek kemahiran dan kreativiti, tetapi turut membentuk jati diri, disiplin serta
tanggungjawab sosial yang tinggi selaras dengan aspirasi melahirkan generasi muda yang berakhlak, produktif dan berwawasan.
“Kini, TVET bukan lagi laluan alternatif, tetapi arus perdana pembangunan negara. Daripada bidang pelancongan, pertanian moden, teknologi maklumat, hingga kepada seni kraftangan tempatan, semua ini merupakan sektor penting yang menyokong ekonomi bandar raya kita.
“Kolaborasi strategik antara Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan DBKK bukan sahaja memperkukuh pelaksanaan dasar pendidikan TVET, malah turut menyokong agenda pembangunan ekonomi dan sosial bandar raya ini,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO UMS