Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Harga diesel Sabah, Sarawak kekal RM2.15 seliter – PM Anwar

Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan mengekalkan harga diesel pada kadar RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak bagi memastikan rakyat di kedua-dua negeri terus menikmati subsidi bahan api yang tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat tahun ini Kerajaan Persekutuan menanggung subsidi diesel berjumlah kira-kira RM4.6 bilion untuk Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, daripada jumlah itu kira-kira RM2.2 bilion diperuntukkan kepada Sabah manakala lebih RM2 bilion kepada Sarawak.

Beliau berkata, langkah itu adalah tanggungjawab kerajaan bagi meringankan beban rakyat walaupun kos sebenar diesel jauh lebih tinggi daripada harga yang dibayar pengguna.

“Harga diesel di pam sekarang RM2.15 seliter, tetapi kos sebenar sekitar RM4.30 seliter, hampir dua kali ganda. Maknanya setiap kali rakyat membeli diesel pada harga RM2.15, selebihnya ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan di sini pada Ahad.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Anwar berkata, perkara itu perlu difahami supaya rakyat mengetahui komitmen besar kerajaan dalam memastikan harga bahan api kekal rendah khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Bukan saya mengeluh, tetapi kita perlu tahu keadaan sebenar. Ada yang memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak peduli nasib rakyat Sabah, sedangkan hakikatnya kerajaan terus menanggung kos yang besar,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan juga menanggung subsidi petrol RON95 yang mencecah kira-kira RM2 bilion setiap bulan atau sekitar RM24 bilion setahun bagi mengekalkan harga semasa.

Menurutnya, kerajaan masih mampu mengekalkan subsidi berkenaan sekurang-kurangnya sehingga Mei tahun ini, sebelum perbincangan lanjut diadakan bagi mencari penyelesaian jangka panjang.

“Kita masih bertahan sehingga April dan insya-Allah Mei juga. Selepas itu kita perlu duduk berbincang untuk mencari penyelesaian yang terbaik,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE