Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Hapkido Sabah perkukuh seni bela diri, bersiap hadapi pentas antarabangsa

Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU : Sukan Hapkido Sabah kini berada di landasan tepat bagi membangunkan dan memperkukuh seni bela diri Hapkido di negeri ini, sebagai persediaan menghadapi kejohanan peringkat antarabangsa.

Sukan itu diketuai Pengarah Wilayah WHMAF Sabah dan Pengasas Hapkido Sabah Bernardo Vivero, dengan sokongan daripada pengasas Sabah Hapkido Enthusiasts Group Emran Azmie Rosle.

Bernando berkata, Hapkido Sabah bukan sahaja aktif mengadakan latihan dan program pembangunan atlet, malah giat menganjurkan ceramah dan seminar untuk memperkenalkan sukan ini kepada masyarakat, khususnya golongan belia.

Katanya, antara pencapaian terkini pasukan Hapkido Sabah ialah penyertaan dalam Kejohanan Hapkido Asia Tenggara Kali Ke-2 yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia, pada bulan Jun lalu.

Menurutnya, empat atlet dari Sabah telah mewakili negeri ini sebagai persediaan awal menuju pentas yang lebih besar di peringkat antarabangsa.

Tambahnya,  penubuhan Hapkido Sabah yang kini hampir setahun, bertujuan untuk menjadikan Hapkido dikenali ramai dan suatu hari nanti menjadi salah satu sukan rasmi dalam SAGA dan SUKMA.

“Hapkido bukan sekadar seni bela diri, tetapi juga falsafah hidup yang menekankan disiplin diri, rasa hormat, dan keharmonian antara manusia,” katanya pada Seminar Hapkido 2025 – The Way of Harmony di sini pada Sabtu.

Katanya, seminar Hapkido yang dianjurkan turut memberi fokus kepada sejarah Hapkido di Sabah, teknik asas seperti kuncian, bantingan, dan penggunaan senjata tradisional Hapkido.

Menurutnya lagi, program ini juga bertujuan memperkukuh rangkaian antara kelab Hapkido berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk membentuk badan induk rasmi Hapkido Negeri Sabah.

Penyertaan seminar bukan sahaja melibatkan pengamal Hapkido, malah termasuk pengamal seni bela diri lain seperti Taekwondo, Silat, Boxing, Muay Thai, serta pegawai penguat kuasa dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Hapkido Sabah juga mendapat sokongan padu daripada Hapkido Indonesia, yang berada di antara negara paling maju dalam pembangunan Hapkido di rantau ini.

Kerjasama bersama Grand Master Yoyok dan Persatuan Hapkido Dunia dijangka dapat memperkukuh lagi perkembangan Hapkido di negeri ini.

Sementara itu, Emran yang juga pengerusi penganjur seminar berkata, melalui seminar ini, para peserta dapat belajar teknik dan kemahiran Hapkido selain menjiwai nilai-nilai yang menjadi terasnya — disiplin, hormat dan keharmonian.

“Nilai inilah yang menjadikan Hapkido bukan sekadar seni mempertahankan diri, tetapi juga satu cara hidup yang mendidik kita agar sentiasa tenang, berhemah dan berfikiran positif,” katanya.

Bagi mereka yang berminat mengikuti seminar atau mendapatkan maklumat lanjut, Master Bernardo Vivero boleh dihubungi di talian 010-453 9970.

LEAVE A RESPONSE