Read Time:1 Minute, 8 Second
KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Sabah FC yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA, sekali gus mengharumkan nama negeri di persada bola sepak negara.
Beliau menyifatkan perjalanan pasukan Sabah ke pentas final sebagai satu pencapaian besar yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sabah, meskipun keputusan akhir perlawanan tidak memihak kepada pasukan tersebut.
“Walaupun keputusan akhir tidak memihak kepada kita, usaha, disiplin dan semangat juang yang ditampilkan sepanjang kejohanan ini membuktikan bahawa Sabah FC mampu bersaing sebagai antara pasukan bola sepak yang terunggul di Malaysia.

“Syabas kepada seluruh barisan pemain dan pasukan jurulatih yang sememangnya telah mengharumkan nama Sabah.
“Setiap langkah ke perlawanan akhir ini adalah hasil kerja keras, pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan sebagai satu pasukan,”katanya dalam hantaran di Facebooknya di sini pada Ahad.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong Sabah FC yang tidak pernah berhenti memberi sokongan tidak kira di Stadium Bukit Jalil mahupun dari tontonan siaran langsung di Sabah.
“Kamu semua adalah kekuatan sebenar pasukan ini. Teruskan berdiri bersama Sabah FC! .Insya-Allah, perjuangan kita bersama akan diteruskan dan dimantapkan lagi!,” katanya.
Semalam, skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan dominasi mereka dalam saingan Piala FA 2025-2026 apabila muncul juara kali keempat berturut-turut selepas menundukkan Sabah FC 5-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil – SABAH MEDIA






