TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menggesa orang ramai supaya tidak membuat pelbagai andaian berhubung insiden kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, sebelum siasatan pihak berkuasa selesai dijalankan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri menzahirkan rasa simpati terhadap tragedi yang berlaku dan memahami kesedihan serta keprihatinan masyarakat, namun semua pihak perlu memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan baik.
“Sebenarnya kita amat simpati, kerajaan negeri amat simpati dengan kejadian yang berlaku. Tetapi kita janganlah membuat andaian bermacam-macam sekarang ini.
“Kita tunggu proses undang-undang berjalan sebaik mungkin dan selepas itu kita akan tahu apa puncanya,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Festival Kebudayaan Rumpun Bajausamah di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausamah, Lok Batik, pada Ahad.
Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, yang turut hadir bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Ketua Menteri turut menegaskan bahawa sehingga kini, pelbagai spekulasi yang tersebar dilihat tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang ramai.
“Kita beri kepercayaan kepada pihak polis untuk menyiasat dan nanti akan diumumkan hasil siasatan setelah selesai,” katanya.
Hajiji turut mengingatkan masyarakat agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan dan mengganggu perasaan keluarga mangsa.
Kredit gambar: JAPEN