Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Guru SM All Saints cemerlang di pentas antarabangsa di Bangkok

Read Time:2 Minute, 18 Second

BANGKOK: Seramai tujuh guru Sekolah Menengah All Saints mengharumkan nama Malaysia apabila mencatat pencapaian membanggakan di Persidangan Antarabangsa Pengajaran, Penyelidikan, Pentadbiran, Kepimpinan dan Transformasi Kreatif (INTERACT) sempena World Youth STEM Invention and Innovation 2026 yang berlangsung di sini dari 29 Januari hingga 2 Februari lalu.

Penyertaan delegasi itu membuahkan hasil luar biasa apabila SM All Saints berjaya meraih tujuh Pingat Emas dan tiga Anugerah Khas hasil pembentangan inovasi pendidikan yang dibangunkan oleh setiap guru, sekali gus mencerminkan budaya inovasi, penyelidikan dan kecemerlangan pengajaran yang kukuh di sekolah berkenaan.

Delegasi tersebut diketuai oleh Penolong Kanan Kokurikulum SM All Saints, Marcus Khoo Hiok Tian, yang membentangkan inovasi EzKokum: Co-Curricular Knowledge Management Made Systematic, Accessible, and Sustainable, iaitu sistem digital pengurusan pengetahuan kokurikulum yang memperkemas dokumentasi, perancangan dan kesinambungan aktiviti tahunan Unit Kokurikulum sekolah. Pembentangan beliau melayakkan diri menerima Pingat Emas serta Anugerah Khas.

Turut mencuri perhatian ialah Siti Azizah Md Yussof menerusi inovasi CircuLoom Gloves Model, alat bantu pengajaran interaktif dan boleh dipakai bagi menyokong pembelajaran multisensori dalam subjek Biologi. Inovasi tersebut membantu pelajar menjejak laluan peredaran darah secara visual dan praktikal, sekali gus meningkatkan kefahaman konsep, dan dianugerahkan Pingat Emas serta Anugerah Khas.

Rishnahayu Nur Kinas pula membentangkan Empowering SM All Saints Students through Collaborative STEM Innovation melalui program Spartan STEM Warriors, iaitu inisiatif pembelajaran STEM berasaskan amali dan penyelesaian masalah dunia sebenar yang bertujuan memupuk minat, kemahiran serta keyakinan pelajar dalam bidang STEM. Usaha tersebut turut menerima Pingat Emas dan Anugerah Khas.

Bertindak sebagai pengurus pasukan, Anizan Ambo membentangkan inovasi POKERCHEM: An Approach to Improving Mastery of Chemical Formulas Among Students, yang memfokuskan peningkatan penguasaan formula kimia dalam subjek Kimia SPM melalui kaedah pembelajaran kolaboratif menggunakan kad PokerChem. Pembentangan itu diiktiraf dengan Pingat Emas.

Disimon @ Edmund Gansoi pula mengetengahkan A Teacher-Driven Best Practice in Applying Nxthinking and Engineering Design Process (NX-EDP) for Real-World Problem Solving: LOOKCAR v2, yang mempamerkan pendekatan bimbingan guru dalam membentuk pemikiran mendalam pelajar serta menghasilkan projek inovasi digital berimpak tinggi. Inovasi tersebut turut meraih Pingat Emas.

Sementara itu, Adrian Bakil Nio membentangkan EduCal, kalorimeter kos rendah yang dibina daripada tin logam terpakai dan diinsulasikan dengan tanah liat sebagai alternatif mesra alam kepada peralatan sedia ada bagi eksperimen Kimia di sekolah. Inovasi berkenaan dianugerahkan Pingat Emas.

Melengkapkan senarai delegasi, guru Kimia Tingkatan Enam, Cikgu Ivy Jocelyn Joanes, membentangkan OrbitalBridge: Bridging Lewis Structures and Hybridisation through Structured Chemical Reasoning, iaitu sistem berasaskan kad yang membimbing pelajar memahami peralihan daripada struktur Lewis kepada penghibdridan dan bentuk orbital secara berperingkat. Pembentangan beliau turut menerima Pingat Emas.

Kejayaan delegasi SM All Saints di INTERACT dan World Youth STEM Invention and Innovation 2026 membuktikan komitmen tinggi sekolah itu terhadap pengajaran inovatif, amalan berasaskan penyelidikan dan pembelajaran berpusatkan pelajar, sekali gus mengangkat reputasi institusi pendidikan Sabah di pentas antarabangsa.

LEAVE A RESPONSE