Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Gunung Kinabalu diiktiraf Malaysia Book of Records bagi penanda rrah kiblat tertinggi

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU : Gunung Kinabalu terus mencipta sejarah apabila kini bukan sahaja menjadi ikon pelancongan terkenal dunia, tetapi turut menjadi lokasi kepada Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia, yang diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengiktirafan berprestij itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi Monumen Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia yang berlangsung di sini pada Isnin.

Menurut Hajiji, monumen kiblat yang dipasang di KM8 Gunung Kinabalu pada ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut itu bukan sahaja satu pencapaian teknikal, tetapi juga simbol kekuatan iman dan keilmuan umat Islam di Sabah.

“Monumen ini berdiri megah di puncak tertinggi Malaysia, menjadi lambang keutuhan akidah dan syiar Islam. Ia bukan sekadar catatan dalam buku rekod, tetapi bukti bagaimana ilmu, teknologi dan iman boleh digabungkan untuk mencipta kejayaan besar,” katanya.

Beliau berkata, pemasangan penanda arah kiblat itu amat signifikan bagi pendaki Muslim yang sering berdepan kesukaran menentukan arah solat ketika berada di altitud tinggi.

“Langkah ini memberi kemudahan dan keyakinan kepada pendaki Muslim untuk menunaikan solat dengan tepat dan sempurna — satu keperluan penting dalam pelancongan mesra Muslim yang semakin berkembang,” ujarnya.

Projek ini dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Mufti Negeri Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, JUPEM, Taman-Taman Sabah, JAKIM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, RTM, Pejabat Daerah Ranau, Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Bahagian Istiadat dan Protokol Negeri.

“Sinergi antara semua agensi ini menunjukkan bahawa apabila ilmu, teknologi dan iman bersatu, hasilnya ialah sesuatu yang membanggakan.

“Gunung Kinabalu kini bukan sekadar destinasi pendakian fizikal, tetapi juga destinasi spiritual dan ilmiah,” katanya.

Hajiji turut menegaskan bahawa inisiatif itu memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan halal utama di rantau ini, sekali gus membuktikan bahawa sains dan agama boleh bergerak seiring dalam suasana harmoni.

“Monumen ini bukan sahaja menandakan arah kiblat, tetapi juga arah kemajuan negeri Sabah – satu simbol penyepaduan antara pembangunan fizikal dan rohani,” tegasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan projek bersejarah itu hingga mencipta rekod baharu buat Sabah dan Malaysia. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE