Read Time:1 Minute, 30 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Gara-gara menggunakan wang palsu RM150, seorang lelaki menangis apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM1,000, atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen hari ini.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Noor Hafizan Azlan, 26, apabila kes itu disebut semula untuk keputusan hari ini.
Mohd Noor Hafizan mengaku bersalah menggunakan wang palsu sebagai tulen iaitu tiga keping wang kertas RM50 yang mempunyai nombor siri sama, FL1400605, antara jam 11 pagi hingga 11.30 pagi pada 19 Disember 2023 di Stesen Minyak Shell Golden Hill Enterprise, Jalan Pintas Donggongon.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah membeli Reload Pin Touch & Go bernilai RM150 dan membayarnya menggunakan tiga keping wang RM50 palsu. Selepas pembayaran diterima, tertuduh melarikan diri menaiki kereta jenama Ford.
Rakaman CCTV menunjukkan tertuduh dan kenderaan berkenaan berada di lokasi kejadian pada masa tersebut. Siasatan mendapati kereta itu dimiliki oleh sebuah syarikat, dan tertuduh diberi akses untuk tujuan pekerjaan.
Tertuduh ditahan pada 10 Januari 2024, kira-kira jam 1.30 pagi, di Kepayan oleh pihak polis.
Selain itu, laporan analisis Bank Negara Malaysia juga telah diperolehi dan mengesahkan tiga wang note bernilai RM50 yang telah kamu gunakan di Stesen minyak semasa kejadian adalah merupakan wang palsu.
Semasa rayuan, tertuduh merayu meminta hukuman diringankan kerana dia mempunyai tiga orang adik beradik yang masih bersekolah dan juga orang tua yang ditanggung.
“Saya janji tidak akan buat lagi. Saya harap rayuan saya dapat diterima,” katanya sedih.
Timbalan Pendakwa Raya, Bryan Francis, menekankan perlunya hukuman berat kerana kesalahan itu serius dan boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.
Tambahnya, semasa ditahan, tertuduh masih memiliki wang palsu berjumlah RM1,220.





