Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

GRS yakin beri saingan sengit pada PRU Sabah

Read Time:1 Minute, 34 Second

Oleh Ahmad Husnayan

LAHAD DATU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat semakin kukuh di peringkat akar umbi dan dijangka menjadi antara gabungan paling dominan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah Ke-17) akan datang.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Silam, Datuk Mizma Appehdullah, berkata perkembangan itu didorong oleh gerak kerja bersepadu jentera parti di semua peringkat serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri pimpinan GRS.

Beliau berkata, momentum sokongan terhadap GRS kini semakin meningkat hasil pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri.

“GRS kini semakin meniti di bibir rakyat. Gerakan jentera di semua peringkat menunjukkan komitmen tinggi dan sokongan yang kian padu terhadap gabungan ini,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mizma yang juga Ketua Wanita GRS Zon 6B menjelaskan, tumpuan utama ketika ini bukan kepada soal calon, tetapi kepada penyediaan jentera parti yang mantap serta kesiapsiagaan menghadapi PRU-DUN yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

“Saya tekankan kepada semua ahli mengenai tanggungjawab masing-masing demi memastikan kemenangan parti.

“Ini bukan masa untuk berbicara soal calon. Soal calon dan kawasan biarlah ditentukan pucuk pimpinan. Saya yakin Presiden GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, akan membuat keputusan terbaik untuk parti,” katanya.

Menurutnya, rakyat kini semakin menyedari manfaat daripada pelaksanaan Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bukan sahaja memperkukuh ekonomi negeri, malah turut memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan SMJ membawa banyak perubahan positif. Rakyat merasai pembangunan yang semakin rancak dan mahu kesinambungan ini diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Mizma mengingatkan semua ahli dan penyokong GRS supaya kekal berdisiplin, terus bekerja keras dan memperkukuh perpaduan dalaman bagi memastikan kemenangan gabungan itu pada pilihan raya akan datang.

“Perpaduan dan semangat kerja berpasukan adalah kunci kemenangan. GRS sudah berada di landasan yang betul, dan kini masa untuk memastikan momentum ini diterjemahkan di peti undi,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE