Read Time:3 Minute, 39 Second
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan senarai 51 daripada keseluruhan 55 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri berteraskan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata baki empat calon lagi akan diumumkan esok (Khamis).
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Calon-Calon GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Rabu.
Menurut Hajiji, senarai calon yang diumumkan menampilkan gabungan pemimpin berpengalaman dan generasi muda, dengan 35 peratus terdiri daripada muka baharu.
“Saya yakin calon-calon yang kita tampilkan kali ini adalah mereka yang berpotensi besar untuk menang dalam pilihan raya ini,” katanya.
Beliau turut menyeru semua penyokong serta jentera parti komponen GRS supaya bekerja keras memastikan kemenangan gabungan itu dalam PRN kali ini.
“Saya berharap dengan pengumuman calon-calon ini, seluruh jentera GRS akan bergerak bersama untuk memastikan kemenangan kita. Saya yakin kita akan berjaya,” katanya lagi.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah mengesahkan bahawa semua calon GRS akan menggunakan bendera rasmi gabungan berkenaan semasa bertanding.
Katanya, calon-calon yang dipilih terdiri daripada barisan pemimpin berwibawa, berpengalaman serta mempunyai rekod khidmat cemerlang di kawasan masing-masing.
“Dengan pengumuman ini, kita rapatkan saf kepimpinan, perkukuhkan semangat perjuangan dan pastikan kemenangan berpihak kepada GRS. Kita pilih GRS, kita undi GRS dan kita menangkan GRS,” katanya.
Hajiji berkata, GRS yang menerajui pentadbiran negeri sejak 2020 berjaya melaksanakan pelbagai pembaharuan termasuk pemulihan ekonomi, peningkatan pelaburan, peluasan peluang pekerjaan serta pelaksanaan projek pembangunan strategik di seluruh Sabah.
Antara kejayaan utama yang dicapai termasuk pemeteraian Perjanjian Komersial (CCA) dengan Petronas, peruntukan RM1.02 bilion untuk pendidikan dan pembangunan modal insan, pelaksanaan Rumah Mesra SMJ, serta pembangunan projek air dan tenaga yang dijangka menyelesaikan isu asas rakyat menjelang 2026.
Kerajaan negeri turut memperkukuh agenda kelestarian dengan memperluaskan Totally Protected Areas (TPA) kepada dua juta hektar dan Marine Protected Areas (MPA) seluas 1.015 juta hektar, selain mencatat kutipan hasil negeri sebanyak RM7 bilion selama dua tahun berturut-turut.
“Perjuangan GRS pada pilihan raya ini berasaskan aspirasi rakyat untuk memastikan kesinambungan pembangunan negeri melalui dasar Sabah Diutamakan, Sabah Melangkah Ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah Yang Bersatu,” katanya.
Majlis pengumuman turut dihadiri Timbalan-Timbalan Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Tan Sri Liew Yun Fah, Datuk Chin Su Phin dan Tan Sri Anifah Aman, serta Setiausaha Agung Datuk Seri Masidi Manjun dan Timbalan Setiausaha Agung Datuk Armizan Mohd Ali.
Senarai calon rasmi GRS PRN DUN Sabah ke-17:
- N01 Banggi – Datuk Mohamad Mohamarin
- N02 Bengkoka – Dr Samuil Mopun
- N03 Pitas – Datuk Seri Ruddy Awah
- N04 Tanjong Kapor – Datuk Ben Chong Chen Bin
- N05 Matunggong – Datuk Julita Majungki
- N06 Bandau – Datuk Redonah Bahanda
- N07 Tandek – Datuk Hendrus Anding
- N08 Pintasan – Tan Sri Pandikar Amin Mulia
- N09 Tempasuk – Datuk Mohd Arsad Bistari
- N10 Usukan – Datuk Japlin Akim
- N11 Kadamaian – Mudezam Muyau
- N12 Sulaman – Datuk Seri Hajiji Noor
- N13 Pantai Dalit – Datuk Jasnih Daya
- N14 Tamparuli – Belum diumum
- N15 Kiulu – Datuk Joniston Bangkuai
- N16 Karambunai – Datuk Arshad Idris
- N17 Darau – Datuk Mohd Razali Razi
- N24 Tanjung Keramat – Shah Alfie Yahya
- N26 Moyog – Joeynwood Bansin
- N27 Limbahau – Datuk Juil Nuatim
- N28 Kawang – Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar
- N29 Pantai Manis – Datuk Pg Saifuddin Pg Tahir Petra
- N30 Bongawan – Tan Sri Anifah Aman
- N31 Membakut – Datuk Mohd Ariffin Arif
- N32 Klias – Datuk Isnin Aliasnih
- N33 Kuala Penyu – Datuk Limus Jury
- N34 Lumadan – Datuk Ruslan Muharam
- N36 Kundasang – Datuk Dr Joachim Gunsalam
- N37 Karanaan – Datuk Seri Masidi Manjun
- N38 Paginatan – Datuk Abidin Madingkir
- N39 Tambunan – Datuk Victor Paut
- N40 Bingkor – Belum diumum
- N41 Liawan – Datuk Annuar Ayub Aman
- N43 Kemabong – Datuk Rubin Balang
- N44 Tulid – Belum diumum
- N45 Sook – Datuk Ellron Angin
- N46 Nabawan – Datuk Abdul Ghani Yasin
- N47 Telupid – Datuk Jonybone J Kurum
- N48 Sugut – Datuk James Ratib
- N49 Labuk – Datuk Samad Jamri
- N51 Sungai Manila – Hazem Mubarak Musa
- N52 Sungai Sibuga – Datuk Amirshah Yaakub
- N53 Sekong – Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiana
- N57 Kuamut – Datuk Masiung Banah
- N58 Lamag – Johainizamshah Johari
- N59 Sukau – Datuk Juhari Janan
- N60 Tungku – Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan
- N62 Silam – Datuk Mizma Apehdullah
- N63 Kunak – Datuk Norazlinah Arif
- N65 Senallang – Datuk Marunda KK. Ampong
- N66 Bugaya – Noordin Abdul Hussin
- N67 Balung – Syed Ahmad Syed Abas
- N68 Apas – Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
- N70 Kukusan – Belum diumum
- N71 Tanjung Batu – Dr Andi Md Shamsureezal






