Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

GRS tidak khianat hak Sabah, SLS iktiraf peranan Kerajaan Negeri – Armizan

Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu bersatu dalam memperjuangkan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan isu ini tidak sepatutnya dijadikan modal politik untuk menyerang pihak lain, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berkata rakyat Sabah hanya menuntut hak yang telah dipersetujui melalui MA63 iaitu ‘sijil lahir’ kepada Persekutuan Malaysia.

Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata terdapat pihak yang tampil ‘terpaling hero’ mendakwa merekalah pejuang sebenar, sambil menuduh pihak lain, termasuk GRS, sebagai pengkhianat.

Beliau mengambil contoh tindakan Parti Warisan (Warisan) apabila Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membuat keputusan memihak kepada Sabah Law Society (SLS) berhubung tuntutan 40 peratus special grant Sabah, dan Warisan kemudian mencanang seolah-olah merekalah yang membawa kes tersebut ke mahkamah.

Hakikatnya, Warisan tidak mengambil tindakan tersebut semasa mereka memerintah Sabah antara 2018 hingga 2020.

Pendirian rasmi kerajaan negeri ketika itu, seperti yang dinyatakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 7 Ogos 2019, adalah tidak membawa Kerajaan Persekutuan ke mahkamah kerana ia dianggap sebagai ‘langkah tidak elok.’

“Apabila mereka menuduh orang lain pengkhianat termasuk GRS, maka menjadi kewajipan saya untuk menjawab,” kata Armizan, yang pernah mengetuai Urus Setia MA63 di Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

“Persoalannya, adakah GRS mengkhianat? Untuk jawapannya, rakyat boleh merujuk kenyataan media Sabah Law Society selepas keputusan mahkamah.

“SLS pada 17 Oktober 2025 secara jelas mengiktiraf peranan Kerajaan Negeri yang konsisten menegakkan hak berperlembagaan tuntutan 40 peratus hasil Sabah. Kerajaan Negeri mana yang dimaksudkan, bukan pimpinan Warisan tapi Kerajaan Negeri yang diterajui GRS,” katanya.

Tambahnya: “Inilah hakikat pendirian dan perjuangan Kerajaan Negeri pimpinan GRS dalam mendapatkan hak 40 peratus. Apa pula rekod Kerajaan Warisan bila memegang kuasa dulu, katanya tidak wajar menentang Kerajaan Persekutuan di mahkamah.”

Beliau menyeru rakyat Sabah agar menilai fakta sebenar berdasarkan rekod dan tindakan kerajaan negeri sendiri yang kekal komited dalam memperjuangkan hak rakyat.

LEAVE A RESPONSE