Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

GRS-PH bertanding sebagai ‘favourite’ dalam PRU DUN Sabah – Nizam

Read Time:1 Minute, 43 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) memasuki Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) kali ini sebagai ‘favourite’ berdasarkan rekod kestabilan dan pencapaian kerajaan negeri di bawah pimpinan bersama kedua-dua gabungan itu.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kestabilan politik yang dicapai sejak GRS dan PH mentadbir Sabah telah membawa banyak manfaat kepada rakyat dan ekonomi negeri.

“Saya rasa GRS dan PH bertanding atas kapasiti sebagai favourite kerana kedua-dua gabungan ini telah membuktikan bahawa kestabilan sudah berlaku di Sabah.

“Bila ada kestabilan, kita dapat lihat pencapaian negeri semakin meningkat dari segi ekonomi dan pelaksanaan pelan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0. Banyak inisiatif telah dicapai dan pelbagai bantuan diberikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Program Transformasi Usahawan Mikro di ruang legar T2 di sini, hari ini.

Menurut Nizam, keyakinan pelabur terhadap Sabah semakin meningkat sehingga kawasan-kawasan perindustrian sedia ada kini penuh dan kerajaan terpaksa mengenalpasti kawasan baharu untuk dibangunkan.

“Ini bukti bahawa kestabilan di bawah kerajaan pimpinan GRS dan PH memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi. Rakyat juga mahukan Sabah yang stabil kerana hanya kestabilan boleh membawa negeri ini menjadi benar-benar maju dan berjaya,” ujarnya.

Beliau turut memuji hubungan baik antara kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan Persekutuan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menurutnya telah membawa banyak manfaat kepada Sabah termasuk dalam usaha menuntut hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Di bawah kerajaan Madani ini, sembilan perkara berkaitan MA63 telah dimuktamadkan, dan kita yakin lebih banyak lagi manfaat akan dapat dinikmati rakyat Sabah,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan pertembungan antara GRS dan PH di kawasan Zon 12, Nizam berkata perkara itu masih terlalu awal untuk dipastikan.

“Selagi belum diumum, semua pihak akan melobi kerusi masing-masing. Kita berharap hasil perundingan antara GRS dan PH dapat dilaksanakan seperti yang dipersetujui supaya pertembungan dapat dielakkan.

“Namun, andainya berlaku, mungkin ia hanya pertandingan secara persahabatan,” tambahnya.

LEAVE A RESPONSE