Read Time:1 Minute, 47 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempertaruhkan hampir seluruh barisan kepimpinan tertingginya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah ke-17) yang dijadual berlangsung pada 29 November ini.
Antara nama yang diumumkan termasuk tiga Timbalan Pengerusi GRS iaitu Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia; dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman yang akan bertanding di bawah tiket gabungan berkenaan.
Pengumuman rasmi senarai 51 daripada 55 calon GRS itu dibuat oleh Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini dan empat lagi kerusi dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Hajiji yang kekal mengetuai GRS sekali lagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, yang disandangnya sejak 1990.
Dr Joachim pula akan mempertahankan kerusi DUN Kundasang, manakala Pandikar diumum bakal bertanding di DUN Pintasan, menggantikan penyandang sebelum ini, Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan.
Sementara itu, seperti diumumkan pada program bersama rakyat di Bongawan baru-baru inia, Anifah Aman yang juga bekas Menteri Luar Negeri sah akan bertanding mewakili GRS di DUN Bongawan.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, turut dikekalkan untuk mempertahankan kerusi DUN Karanaan, manakala Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai, terus diberi mandat mempertahankan DUN Kiulu.
Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonybone Kurum, juga diumum mempertahankan DUN Telupid yang dimenanginya pada PRN 2020.
Bagaimanapun, dua presiden parti komponen GRS tidak bertanding pada pilihan raya kali ini, iaitu Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah.
LDP turut mengesahkan tidak akan meletakkan sebarang calon pada PRN kali ini, manakala PHRS dijangka mempertahankan DUN Kukusan melalui penyandangnya, Datuk Rina Jainal, namun pengumuman rasmi masih belum dibuat.
Yun Fah sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk kembali ke arena politik dengan bertanding di DUN Merotai, namun kerusi itu kini diserahkan kepada PKR yang akan diwakili bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ruji Ubi, di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).- SABAH MEDIA






