Read Time:1 Minute, 6 Second
RANAU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menafikan dakwaan wujud calon bebas yang mewakili gabungan itu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) ke-17.
Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun berkata, gabungan itu hanya diwakili oleh Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam untuk bertanding mempertahankan kerusi DUN Kundasang.
“GRS sebulat suara memberi sokongan penuh kepada Dr Joachim, dan sebarang dakwaan bahawa calon bebas bertanding atas nama GRS adalah tidak benar serta boleh mengelirukan pengundi,”‘katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Titian Harmoni Bersama Calon GRS di Dewan Serbaguna Kg. Viha Lobou Baru di sini.
Masidi yang juga calon DUN Kundasang berkata, semua ahli dan jentera GRS telah diarahkan untuk bekerja keras membantu kempen Dr Joachim bagi memastikan kemenangan calon gabungan itu dalam pilihan raya yang dijadual berlangsung esok.
Beliau turut mengingatkan pengundi agar tidak terpengaruh dengan sentimen emosi atau rasa tidak puas hati terhadap individu tertentu sehingga sanggup menggadaikan kepentingan parti dan kerajaan.

“Jangan kerana marah kepada calon, kita hancurkan parti dan kerajaan. Parti dan kestabilan kerajaan jauh lebih penting daripada individu,” tegasnya.
Tambah beliau, pilihan raya kali ini bukan soal mencari siapa yang lebih baik secara peribadi, sebaliknya adalah untuk memastikan GRS terus diberi mandat mentadbir kerajaan demi menjamin kestabilan politik dan kelangsungan pembangunan di Sabah. – SABAH MEDIA





