Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

GRS komited naik taraf Pasar Kim Fung demi keselesaan rakyat

Read Time:1 Minute, 21 Second

SANDAKAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan rakyat dengan merancang satu pelan menaik taraf Pasar Kim Fung, yang telah beroperasi lebih 40 tahun dan menjadi nadi ekonomi tempatan di daerah ini.

Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) merangkap Ahli Majlis Perbandaran Sandakan, Robert Chong Thien Ming, berkata cadangan menaik taraf itu adalah hasil maklum balas daripada peniaga dan pengunjung yang sudah sekian lama berdepan suasana panas serta pengudaraan yang tidak selesa di kawasan berkenaan.

“Selama bertahun-tahun, ramai pengunjung terpaksa menahan bahang panas dan keadaan pengap ketika makan di sini, terutamanya pada waktu petang. 

“Sudah tiba masanya tindakan konkrit diambil,” katanya selepas meninjau keadaan di pasar berkenaan.

Menurut beliau, hasil lawatan dan kajian tapak yang dilakukan sejak Mei lalu, satu cadangan penambahbaikan menyeluruh akan dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Sandakan dengan permohonan pembiayaan daripada kerajaan negeri.

Antara penambahbaikan yang dicadangkan termasuk pemasangan kipas ekzos berkuasa tinggi, membuka bidai aluminium yang mengelilingi pasar, pembaikan struktur bumbung, serta penyusunan semula gerai bagi meningkatkan pengedaran udara dan keselesaan pelanggan.

“Langkah ini bukan hanya memperindah pasar, tetapi memastikan persekitaran yang lebih sihat dan kondusif untuk peniaga serta pengunjung,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa GRS komited dalam melaksanakan penambahbaikan kemudahan awam secara berperingkat bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan GRS sentiasa mendengar dan bertindak atas rintihan rakyat. Usaha ini sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk memperkukuh kemudahan awam dan ekonomi setempat,” katanya.

Chong turut menambah, rekod tiga tahun pentadbiran GRS jelas menunjukkan usaha berterusan dalam memajukan Sandakan, termasuk penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan pasar.

“Kami bukan hanya berjanji, tetapi bertindak. GRS adalah kerajaan yang bekerja untuk rakyat, bukan sekadar berkata-kata,” tegas beliau. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE