Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

GRS cadang tubuh Dana Masa Depan Anak Sabah untuk generasi baharu

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: GRS mengumumkan perancangan menubuhkan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah sebuah dana berdaulat bagi menjamin kestabilan ekonomi jangka panjang dan manfaat langsung kepada generasi muda negeri ini.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata dana itu bakal menerima modal permulaan daripada sebahagian rizab negeri serta suntikan tahunan daripada tuntutan 40 peratus Pemberian Khas selaras MA63.

“Ini strategi masa depan. Dana ini akan menjamin Sabah bukan saja kuat hari ini, tetapi kukuh untuk anak-anak kita esok,” katanya selepas pelancaran Manifesto GRS PRU DU Sabah ke-17 di SICC, hari ini.

Dana berkenaan akan digerakkan secara profesional bagi menjana pulangan yang dapat menyokong program rakyat termasuk bantuan pendidikan, biasiswa, latihan kemahiran serta pembangunan teknologi.

Armizan berkata, kemampuan Sabah meningkatkan hasil negeri secara konsisten sejak 2021 membolehkan kerajaan merancang agenda lebih besar termasuk penubuhan dana berdaulat tersebut.

“Peningkatan hasil ini bukan kebetulan. Ia hasil disiplin fiskal dan tadbir urus yang baik sepanjang pentadbiran GRS,” tegasnya.

Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah dijangka menjadi antara komponen utama dalam agenda Sabah Maju Jaya 2.0 sebagai pemangkin peningkatan mobiliti sosial dan perlindungan ekonomi negeri untuk jangka panjang.

LEAVE A RESPONSE