Read Time:2 Minute, 18 Second
KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai peluang terbuka untuk membentuk Kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) ke-17 berdasarkan dapatan kajian akhir pola pengundian oleh ILHAM Centre yang dikeluarkan hari ini.
Berdasarkan kajian itu, GRS dijangka memperoleh sekitar 26 kerusi daripada 55 kerusi yang ditandingi, sekali gus muncul sebagai parti yang memenangi jumlah kerusi terbesar berbanding parti lain.
“Dengan kedudukan sebagai penyandang, imej sederhana Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang diterima merentasi kepimpinan parti lain serta kekuatan di kawasan Pantai Barat, GRS berada dalam kedudukan selesa untuk memulakan rundingan bagi membentuk kerajaan,” menurut laporan itu.
ILHAM Centre memaklumkan antara faktor utama yang memberi kelebihan kepada GRS ialah kempen yang membawa naratif kestabilan dan ketenangan, selain memanfaatkan sepenuhnya kelebihan sebagai parti penyandang dalam pertembungan berbilang penjuru.
Kajian itu turut mendapati pengundi Sabah kini semakin bersifat candidate centric, iaitu membuat pilihan berdasarkan calon berbanding jenama parti atau isu semasa.
“Tiga ciri utama calon yang paling mendapat tempat ialah pemimpin yang prihatin terhadap kebajikan rakyat, memiliki rekod perkhidmatan cemerlang dan rajin turun padang bertemu rakyat,” menurut laporan berkenaan.
Dalam kalangan pengundi muda pula, ILHAM Centre mendapati kecenderungan mereka lebih berterabur, dengan 16 peratus masih belum menetapkan pilihan sehingga hari mengundi, manakala sebahagian besar terpengaruh oleh faktor penampilan calon serta pengaruh keluarga dan rakan.
Isu berkaitan hak Sabah seperti tuntutan 40 peratus hasil negeri, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), autonomi negeri serta identiti Sabah dikenal pasti sebagai pemacu emosi paling kuat sepanjang kempen.
Sebanyak 77 peratus responden yang terlibat dalam kajian itu menyatakan sokongan terhadap tema kempen yang berteraskan agenda ‘Sabah First’ dan hak negeri.
Walaupun isu ekonomi, kos sara hidup, masalah air, bekalan elektrik, infrastruktur dan peluang pekerjaan kekal relevan, ILHAM Centre menjelaskan semua isu tersebut masih berada di bawah dominasi emosi naratif pro-Sabah.
Kajian turut mencerap wujudnya ‘angin perubahan’ dalam kalangan pengundi Cina dan pengundi Kadazandusun-Murut (KDM) di kawasan bandar seperti Likas, Inanam, Luyang, Kapayan dan Api-Api.
Menurut laporan itu, kempen Pakatan Harapan (PH) dilihat hambar di kawasan bandar dan sekiranya gelombang penolakan terhadap parti dari Semenanjung meningkat, beberapa kerusi DUN sedia ada berpotensi bertukar tangan.
Berdasarkan unjuran akhir ILHAM Centre, WARISAN dijangka memperoleh enam kerusi sebagai kubu kuat dan berpotensi meningkat kepada 14 kerusi sekiranya berlaku ayunan undi di kawasan bandar.
Barisan Nasional (BN) pula diramal memenangi sekitar sembilan kerusi, manakala PH dianggarkan hanya memiliki empat kerusi selesa setakat ini. Sebanyak 13 kerusi pula diklasifikasikan sebagai kerusi sengit yang masih terbuka kepada semua parti.
ILHAM Centre turut menyatakan peratusan keluar mengundi yang rendah berpotensi memberi kelebihan kepada parti penyandang.
Kajian lapangan ILHAM Centre dijalankan dari 15 hingga 27 November 2025 melibatkan 1,500 responden merangkumi semua segmen pengundi di enam wilayah Sabah dengan ralat kajian sebanyak 2.5 peratus. – SABAH MEDIA






