Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

GRS bakal umum calon seminggu sebelum hari penamaan?

Read Time:1 Minute, 13 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berharap dapat mengumumkan calon mereka seminggu sebelum hari penamaan (15 November) bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, mengulas khabar angin bahawa GRS akan mengumumkan calon lebih awal daripada hari penamaan dan mengesahkan bahawa GRS akan mengumumkan nama calon lebih awal.

Ditanya mengenai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meletakkan calon di kawasan yang turut ditandingi GRS, Masidi berkata setakat ini beliau belum terbaca atau melihat sebarang pengumuman daripada parti itu.

Beliau menambah bahawa GRS telah mengadakan perundingan dengan Pakatan Harapan (PH) dan akan meletakkan calon tanpa mengira siapa calon lawan.

“Melalui perundingan, kami berharap kedua-dua pihak menghormati persetujuan dalam rundingan itu. Jika tidak, ia membuka kemungkinan persaingan bebas,” katanya dalam sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor merasmikan BigSabah Sale 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Masidi menjelaskan bahawa dalam politik tiada apa yang mustahil dan persaingan bebas boleh berlaku atau tidak.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung UPKO, Datuk Senator Nelson W. Angang dalam kenyataannya mengesahkan parti itu merancang bertanding di lebih daripada dua kerusi pada PRU kali ini.

Difahamkan, UPKO hanya diberikan dua kerusi untuk ditandingi. Selain Kadamaian dan Limbahau, parti itu dipercayai turut menilai peluang di Moyog dan beberapa kawasan majoriti Kadazandusun Murut (KDM).

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan teliti dan parti yakin dengan kesiapsiagaannya untuk bertanding di kerusi-kerusi berkenaan.

LEAVE A RESPONSE