Read Time:2 Minute, 0 Second
Oleh Raul G
TAMPARULI: Jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memastikan parti komponennya berada di tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 November.
Ketua Penerangan GRS dan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, pemimpin akar umbi PBS dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyertai Bengkel Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Kiraan Undi (PACA) yang dianjurkan oleh jawatankuasa jentera pilihan raya GRS Kiulu.
Katanya, bengkel berkenaan mampu mempertingkatkan usaha penyelarasan bagi memastikan GRS mengekalkan kerusi Kiulu pada jangkaan pertandingan pelbagai penjuru.
“Selain itu, ia memberi tumpuan kepada pengukuhan koordinasi operasi, pendedahan kepada prosedur pilihan raya, serta mengukuhkan semangat kerja berpasukan menjelang hari pengundian, katanya ditemui di Dewan Bawing, Kampung Lakang di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi PACA Pusat merangkap Timbalan Ketua Bahagian PGRS Sulaman, Datuk Abdul Kassim Razali dan Timbalan Ketua Bahagian PGRS Kiulu, Datuk George Teo.
Joniston mengulas lanjut, kerjasama antara PBS dan PGRS di Kiulu mencerminkan kekuatan GRS sebagai satu gabungan yang menekankan nilai perpaduan dan disiplin dalam kalangan parti komponennya.
“Kerjasama di peringkat akar umbi ini adalah contoh bagaimana parti-parti komponen GRS bekerjasama dengan berkesan untuk mencapai matlamat bersama.
“Fokus kita bukan pada siapa lawan kita, tetapi untuk memastikan setiap undi dijaga dan setiap proses berjalan lancar,” katanya.
Beliau menambah, GRS mencatat rekod pemerintahan yang stabil serta pembangunan konsisten.
“Apa yang rakyat mahukan adalah kerajaan yang menunaikan janji dan itulah yang akan terus dilakukan oleh GRS. Kita mahu mengekalkan kepercayaan itu dengan bekerja sebagai satu pasukan,” ujar beliau.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu itu, dikenali dengan memperjuangkan pembangunan di kawasan berkenaan dengan usaha memperkukuh pelancongan luar bandar dan pertanian, sehinggalah memajukan infrastruktur serta perancangan komuniti yang menyokong sumber pendapatan penduduk tempatan.
Sementara itu, Abdul Kassim berkata, Joniston menerima sokongan kukuh di peringkat akar umbi hasil kepimpinan yang mesra rakyat serta usaha berterusan beliau dalam pembangunan masyarakat.
Katanya, usaha Joniston menjadikan Kiulu sebagai hab pelancongan dan pertanian yang pesat berkembang mencerminkan komitmennya untuk meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan peluang baharu kepada masyarakat setempat.
Terdahulu, George berkata kehadiran kira-kira 200 pemimpin akar umbi daripada PBS dan PGRS dalam bengkel terbabit menunjukkan sokongan padu terhadap calon GRS serta kesiapsiagaan petugas parti bagi memastikan operasi pilihan raya berjalan lancar.
“Bengkel ini membantu kami menyelaraskan strategi dan memastikan semua memahami peranan masing-masing. Ia sebahagian daripada usaha bersama untuk memastikan perjalanan pilihan raya tersusun dan telus,” katanya.






