Graduan Kelahiran Tawau Terima Anugerah Khas Keusahawanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Read Time:1 Minute, 36 Second
NILAI: Graduan kelahiran Tawau, Sabah, Mohd Qusyairash Gregory @ Mohd Zainuddin terus mengharumkan nama Sabah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Keusahawanan Universiti pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tahun ini.
Qusyairash, 24, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dan berjaya menamatkan pengajian dengan Kelas Kedua Bahagian Atas (CGPA 3.33).
Anak keempat daripada enam beradik itu dibesarkan dalam keluarga sederhana yang banyak menekankan nilai berdikari serta keberanian mencuba, sekali gus membentuk minatnya dalam bidang keusahawanan sejak di bangku pengajian.
Menurutnya, penglibatan aktif dalam pelbagai program pembangunan pelajar, inisiatif perniagaan mahasiswa, pengurusan projek serta latihan industri menjadi platform penting untuk mengasah kemahiran kepimpinan dan pengurusan perniagaan.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa pelajar dari pelbagai latar belakang mampu mencipta perubahan sekiranya berani mencuba,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan serta para pensyarah yang banyak membimbing dan memberi sokongan sejak tahun pertama pengajiannya di USIM.
“Saya bersyukur dengan pengiktirafan ini. Ia bukan kejayaan saya seorang, tetapi hasil sokongan keluarga dan semua yang sentiasa mendorong saya,” katanya.
Mengulas cabaran sebagai anak Sabah yang merantau untuk menuntut ilmu, Qusyairash mengakui bukan mudah berdepan pelbagai dugaan, namun pengalaman itu mengajarnya erti berdikari serta kematangan dalam membuat keputusan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan dunia keusahawanan bukan sekadar mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya berperanan membina nilai, memberi manfaat kepada komuniti dan berani keluar daripada zon selesa.
“Kegagalan bukan untuk ditakuti, sebaliknya dijadikan ruang pembelajaran. Usah takut memulakan sesuatu walaupun kecil, yang penting keberanian mencuba dan kesungguhan meneruskannya,” tambah beliau.
Selepas menamatkan pengajian, Qusyairash berhasrat untuk terus memperkukuh kemahiran keusahawanan dan bercita-cita mewujudkan peluang perniagaan yang mampu memberi impak kepada masyarakat, khususnya golongan belia dan komuniti di Sabah.
USIM melalui pelbagai inisiatif keusahawanan, latihan serta sokongan universiti terus komited melahirkan graduan berdaya saing yang mampu menjadi pemimpin masa hadapan dalam pelbagai sektor termasuk perniagaan, komunikasi dan pembangunan masyarakat.






