Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Gotong-royong Tanah Perkuburan Islam Printing Kepayan satukan komuniti

Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Program gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Printing Kepayan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dengan penyertaan sekitar 100 orang tanpa mengira usia.

Aktiviti kemasyarakatan seumpama ini dilihat masih relevan dan mendapat tempat dalam kalangan komuniti, sekali gus membuktikan semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial yang tinggi dalam kalangan Masyarakat.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, program tersebut bukan sahaja bertujuan memastikan kawasan perkuburan sentiasa bersih dan terpelihara, malah menjadi platform memperkukuh nilai kekeluargaan, semangat tolong-menolong serta meningkatkan kesedaran rohani dalam kalangan komuniti setempat.

Menurut beliau, usaha membersihkan kawasan perkuburan juga menjadi peringatan bermakna tentang kehidupan selepas mati dan pentingnya mempersiapkan diri dengan amalan yang baik.

“Marilah kita bersama-sama menjaga kawasan perkuburan ini agar tidak lagi terbiar. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan program gotong-royong ini,” katanya ketika merasmikan program berkenaan hari ini.

Menjelang Ramadan, penganjuran gotong-royong ini menjadi tradisi tahunan Persatuan Anak Jati Tanjung Aru Baru, sebagai usaha berterusan memelihara kebersihan tanah perkuburan Islam Printing Kepayan.

Pengerusinya, Khalid Osman berkata, program berkenaan merupakan sebahagian aktiviti tahunan persatuan bersama penduduk kampung dan waris keluarga sejak dahulu lagi melibatkan orang ramai termasuk golongan muda.

Lebih istimewa tahun ini turut serta ialah Persatuan Masyarakat Brunei Sabah Cawangan Tanjung Aru, Persatuan Anak Tanjung Aru (PERSATA), Masjid Al-Falah Kepayan, Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru, dan Surau Al-Amin Tanjung Aru bersama-sama penduduk kampung Tanjung Aru serta waris keluarga.

LEAVE A RESPONSE