PUTATAN : Program gotong royong terus menjadi elemen penting dalam memastikan daerah Putatan kekal bersih, kondusif dan sejahtera untuk didiami, selain memainkan peranan besar menyatukan komuniti setempat.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata aktiviti sebegini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kebersihan, malah memupuk budaya hidup sihat serta semangat kerjasama di peringkat akar umbi.
“Semua program komuniti yang melibatkan gotong royong amat digalakkan dan diberikan sokongan penuh oleh pihak kami di Parlimen Putatan.
“Ia bukan sekadar membersihkan kawasan, tetapi juga mengeratkan ukhuwah sesama penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program gotong royong membabitkan penduduk Kampung Sri Pandan dan Taman Pantai Lok Kawi, di sini, pada Sabtu.

Shahelmey turut menggesa agar penduduk di seluruh lokaliti Putatan terus aktif menyertai aktiviti pembersihan dan program komuniti demi mewujudkan persekitaran yang sihat dan selesa.
“Walaupun kita ada PBT dan Majlis Daerah yang bertanggungjawab menguruskan penyelenggaraan sampah, kesedaran masyarakat tetap menjadi faktor utama.
“Persekitaran yang bersih dan nyaman boleh memberi motivasi kepada kita untuk menjalani rutin harian, belajar dan bekerja dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berharap usaha gotong royong seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai budaya bersama penduduk Putatan.- SABAH MEDIA






