SANDAKAN : Program Gotong-Royong Pembersihan Kawasan Jalan Wong Kon Sung dan Jalan Cecily berjaya dilaksanakan dengan melibatkan kerjasama erat antara Pasukan Petugas mantan ADUN Karamunting dan penduduk setempat.
Inisiatif itu bertujuan memastikan kawasan berkenaan kekal selamat, bersih dan selesa untuk didiami, di samping memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Karamunting, George Hiew Vun Zin berkata, penganjuran gotong-royong itu amat penting bagi mengelakkan risiko keselamatan terutama ketika musim hujan, selain mencegah banjir kilat dan pembiakan nyamuk.
“Program seperti ini bukan sahaja dapat menjaga kebersihan persekitaran, malah mencerminkan semangat keprihatinan dan perpaduan masyarakat.
“Ia juga menjadi contoh bahawa pembangunan kawasan adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya terletak di bahu kerajaan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penduduk yang turut serta menjayakan program berkenaan, serta berharap semangat kerjasama tersebut dapat diteruskan pada masa hadapan.
Menurutnya, aktiviti seumpama itu akan diteruskan secara berkala di kawasan lain dalam Karamunting sebagai langkah berterusan memastikan kesejahteraan penduduk.
Usaha gotong-royong ini, tambahnya, bukan sekadar aktiviti pembersihan fizikal tetapi merupakan langkah membina masa depan yang lebih selamat, bersih dan harmoni melalui semangat tanggungjawab bersama seluruh komuniti. – SABAH MEDIA