Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Geran pendidikan tahunan sekolah di Penampang dan Kadamaian diteruskan – Ewon

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Geran pendidikan tahunan untuk sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen Penampang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian akan diteruskan pada tahun 2026, kata Ahli Parlimen Penampang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, penyaluran geran tersebut merupakan komitmen berterusan bagi memastikan sekolah rendah dan menengah, termasuk yang melaksanakan Program Pendidikan Khas, terus memperoleh sokongan sewajarnya bagi meningkatkan mutu pengajaran serta kemudahan pembelajaran.

“Sejak diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Penampang, setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah dan menengah di daerah ini menerima geran pendidikan tahunan, termasuk keperluan tambahan kepada sekolah yang memerlukan sokongan segera, sebagaimana bantuan yang pernah disalurkan kepada SK St. Joseph.

“Inisiatif yang sama turut dilaksanakan di kawasan Kadamaian dan geran tahunan ini akan diteruskan kepada semua sekolah di kawasan Kadamaian,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan itu berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Graduasi SK St. Joseph Penampang, di sini, hari ini.

Ewon berkata, sokongan terhadap institusi pendidikan akan terus menjadi keutamaan, bukan sahaja melalui peruntukan tahunan, tetapi juga menerusi kerjasama rapat dengan pihak sekolah dan warga pendidik.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pendidik dan ibu bapa atas usaha memastikan pembangunan pendidikan dan sahsiah pelajar terus terjamin serta menjadi asas kepada kecemerlangan daerah Penampang.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada guru-guru dan ibu bapa yang memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan sempurna serta terus menyumbang kepada kecemerlangan sekolah dan Penampang,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon menasihati para pelajar agar terus membina jati diri, menghormati guru dan keluarga serta mempersiapkan masa depan dengan disiplin, iltizam dan nilai murni yang menjadi asas pembentukan sahsiah dan kecemerlangan pendidikan.

“Mudah-mudahan sepuluh tahun dari sekarang, setiap seorang daripada 88 pelajar ini kembali sebagai graduan universiti dengan ijazah masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu seramai 88 pelajar Tahun 6 menerima sijil graduasi masing-masing.

LEAVE A RESPONSE