KOTA KINABALU: Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mengesahkan hasrat parti itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN).
Katanya, persiapan awal giat dijalankan dengan Gerakan kini aktif berunding dengan NGO dan organisasi tempatan bagi merangka manifesto yang relevan.
“Kami perlu pastikan manifesto kami menangani isu sebenar rakyat Sabah,” katanya selepas majlis makan malam ulang tahun ke-57 parti itu pada Ahad.
Beliau menyatakan sokongan terhadap semangat “Sabah for Sabahans” namun menegaskan kualiti calon lebih penting berbanding slogan.
Beliau juga mengelak mengulas lanjut mengenai kemungkinan kerjasama politik, memandangkan landskap Sabah yang dinamik.
“Kami mendengar suara rakyat. Mandat milik rakyat Sabah,” tegasnya.
Tambahnya, analisis dalaman menunjukkan DUN mungkin dibubar seawal Julai dan sudah bersedia sepenuhnya jika PRN berlangsung Ogos.
Beliau turut menghargai penyertaan semula veteran parti di Sabah, yang menurutnya membuktikan akar parti masih kukuh di negeri itu.