Read Time:1 Minute, 16 Second
KOTA KINABALU, Rakyat Sabah bakal berhadapan dengan pilihan raya yang mencabar apabila lebih banyak parti dijangka bertanding kali ini, kata Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.
Beliau berkata, peningkatan jumlah parti yang menyertai Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi membuktikan bahawa demokrasi di Sabah semakin matang, di samping menunjukkan rakyat kini mempunyai pelbagai pilihan untuk menentukan hala tuju negeri.
“Ini satu perkembangan yang baik kerana rakyat Sabah boleh pilih mana satu yang betul-betul berbuat kerja, betul-betul berkhidmat kepada rakyat dan betul-betul membawa jasa baik kepada rakyat dan membawa pembangunan kepada rakyat
Jadi kita serahkan itu kepada rakyat untuk membuat pilihan yang tepat katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mid-Autumn Carnival Luyang di sini malam ini.
Jelasnya, landskap politik baharu di Sabah berkemungkinan membawa kepada pembentukan kerajaan campuran atau coalition government selepas pilihan raya, sejajar dengan trend politik pelbagai parti yang semakin ketara.
Ditanya mengenai pendekatan yang akan diambil oleh partinya untuk meraih sokongan rakyat, beliau berkata DAP Sabah akan terus berpegang kepada prinsip “politik bekerja” dan “politik berkhidmat” sebagai asas perjuangan parti itu.
“Kami tidak mahu terlibat dalam politik yang hanya berasaskan retorik atau isu semata-mata. DAP Sabah komited kepada budaya politik yang produktif dan berpaksikan perkhidmatan kepada rakyat,” tegasnya.
Phoong turut menekankan kepentingan melahirkan lebih ramai pemimpin muda dan dinamik dalam arena politik negeri bagi memastikan kesinambungan kepimpinan yang progresif.
“Jika lebih ramai pemimpin muda diberi peluang untuk berada dalam Dewan Undangan Negeri, saya yakin Sabah akan melihat perubahan yang kita inginkan ,” katanya.