Read Time:1 Minute, 24 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin membuktikan kesiapsiagaan luar biasa apabila menjadi antara bahagian terawal melancarkan jentera pilihan raya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin Helmy Saidin berkata, persiapan telah dimulakan sejak beberapa bulan lalu tanpa menunggu sebarang pengumuman rasmi.
Katanya, ia sekali gus menunjukkan kesungguhan parti dalam memastikan kelancaran gerak kerja di peringkat akar umbi.
“Alhamdulillah, kita sudah lama bersiap. Malah, Sindumin antara bahagian yang paling awal menyediakan jentera pilihan raya.
“Ini semua hasil kepimpinan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindiumin Datuk Dr Yusof Yacob dan semangat tinggi para ahli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media sempena pelancaran jentera parti GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.
Helmy berkata, meskipun belum ada arahan rasmi dari pimpinan pusat namun semangat ahli parti di peringkat cawangan sangat memberangsangkan dan terus aktif menjalankan gerak kerja kemasyarakatan dan pemantapan organisasi.
Menurutnya lagi, jumlah keahlian Gagasan Rakyat di Sindumin kini hampir mencecah 5,000 orang dan terus meningkat dari semasa ke semasa.
“Sebahagian besar telah disahkan, dan sebahagiannya masih menunggu pengesahan dari ibu pejabat.
“Namun kita bangga kerana semangat ahli-ahli sangat tinggi, baik dari Gagasan Rakyat mahupun komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar parti bukan hanya terletak pada jumlah keahlian semata-mata, tetapi pada kesatuan dan kerja berpasukan yang terbukti kukuh di bahagian Sindumin.
“Kita semua bergerak dalam satu pasukan. Tidak kira latar belakang parti dalam GRS, yang penting ialah kesediaan kita untuk bekerja demi masa depan Sabah,” jelasnya. – SABAH MEDIA