Read Time:1 Minute, 11 Second
KOTA KINABALU: Tiga promoter pelancongan yang tular bergaduh di tempat awam baru-baru ini masing-masing didenda RM1,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
Abdul Hafiz Mohd Sain, 31, Abdul Qayum, 27, dan Akmadir Kamadir, 31, mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Mereka didakwa melakukan gaduh-gempar di kawasan kiosk di pusat bandar yang merupakan suatu tempat awam pada 28 Mac lalu, kira-kira jam 10.30 pagi.
Kesalahan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku di kawasan kiosk berhampiran Jesselton Point susulan pertengkaran antara dua pihak.
Akibat daripada pertengkaran tersebut, kerusi dibaling oleh kedua-dua pihak, di mana beberapa kerusi mengenai dan menyebabkan kerosakan pada harta benda milik kiosk pengadu.
Kedua-dua pihak yang terlibat tidak tampil memohon maaf kepada pengadu walaupun insiden berlaku di hadapan premis perniagaan pengadu.
Pengadu membuat laporan polis bagi tujuan keselamatan, serta untuk membersihkan imej perniagaan kiosk miliknya kerana bimbang kejadian tersebut boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan orang awam seolah-olah individu yang terlibat adalah pekerja kiosk pengadu.
Video pergaduhan melibatkan tersebut telah tular di laman sosial dan berdasarkan siasatan lanjut kejadian berpunca daripada salah faham semasa bergurau dan bukanlah isu berebut pelanggan seperti yang ditularkan.
Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah mengendalikan pendakwaan.






