Read Time:2 Minute, 25 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), Datuk Roger Chin, menegaskan bahawa semakan terhadap geran khas 40 peratus hasil Sabah yang diwartakan oleh kerajaan Persekutuan tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan kerana gagal menggunakan formula pengiraan sebenar yang ditetapkan di bawah Perkara 112C.
Beliau berkata, meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa semakan terhadap pemberian khas telah dijalankan dan diwartakan, hakikatnya tiada satu pun semakan tersebut menggunakan formula 40 peratus seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang.
“Mahkamah Tinggi telah menegaskan bahawa formula ini kekal mengikat — bukan nasihat, bukan rundingan, dan bukan tafsiran menteri.
“Untuk memetik Perkara 112D tanpa Perkara 112C adalah seperti membaca separuh ayat dan mendakwa kepatuhan penuh,” katanya.
Roger berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook sebagai respons terhadap ucapan penerangan pendirian kerajaan madani berhubung pemberian khas persekutuan kepada Sabah oleh Anwar pada 23 Oktober.
Menurut Roger, semakan yang dilakukan pada 2022, 2023 dan 2025 hanyalah pewartaan ‘unilateral’ tanpa ketelusan dan pengesahan bersama antara kerajaan negeri dan persekutuan sebagaimana yang disyaratkan oleh Perkara 112D.
Roger menjelaskan bahawa semakan yang sah di bawah Perkara 112D mesti melibatkan proses perlembagaan yang telus, dengan perkongsian data dan perbincangan bersama kedua-dua pihak, serta hasilnya diterbitkan dan dibentangkan di Parlimen.
“Tiada satu pun daripada langkah ini diikuti. Tiada angka didedahkan, tiada formula dijelaskan, dan tiada perbahasan Parlimen diadakan.
“Itulah sebabnya perisytiharan Mahkamah diperlukan —untuk mengembalikan semula proses kepada apa yang dituntut Perlembagaan,” katanya.
Roger turut menyentuh mengenai bayaran geran khas sebanyak RM600 juta pada 2025, yang menurutnya hanyalah bayaran interim dan bukan pemenuhan sebenar terhadap tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
“Jumlah sementara tidak boleh menggantikan pengiraan perlembagaan yang diwajibkan oleh formula 40 peratus. Mahkamah sendiri mengiktiraf bayaran itu sebagai langkah sementara, bukan pematuhan,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh mendakwa kredit atas bayaran separa terhadap hutang yang masih belum diselesaikan, dan tindakan menggambarkan bayaran sementara sebagai pemenuhan hanya meneruskan salah faham perlembagaan yang telah diperbetulkan oleh Mahkamah.
Dalam pada itu, Roger turut mempersoalkan kenyataan yang menonjolkan jumlah perbelanjaan besar kerajaan Persekutuan di Sabah, termasuk RM13 bilion pada 2022, RM14 bilion pada 2023–24 dan RM17 bilion yang dijangka bagi 2025–26.
“Perkara 112C tidak berkaitan dengan berapa banyak yang dibelanjakan oleh Persekutuan; ia berkaitan dengan berapa banyak yang menjadi hak Sabah. Perbelanjaan persekutuan untuk infrastruktur, subsidi atau operasi agensi adalah dasar, hak 40 peratus adalah undang-undang. Kedua-duanya tidak boleh saling menggantikan,” jelasnya.
Menurutnya, tiada perincian diberikan untuk membezakan berapa bahagian daripada jumlah tersebut merupakan geran khas mengikut Perkara 112C, dan berapa bahagian pula merupakan geran pembangunan biasa yang diterima setiap negeri dalam rangka perancangan nasional.
Roger berkata, tanpa pendedahan angka sebenar, pengumuman peruntukan besar kepada Sabah hanya berisiko mengulangi corak lama — janji yang ditangguh dan dana yang dikitar semula.
“Apa yang Sabah perlukan bukan jumlah baharu, tetapi kebenaran di sebalik jumlah tersebut,” katanya.
Kenyataan penuh Roger boleh diikuti menerusi pautan ini: https://www.facebook.com/share/1FUvxt88i4/






