Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

ESSCOM perkenal istilah baharu, kini dikenali sebagai ‘Kawasan Sabah Timur’

Read Time:1 Minute, 7 Second

LAHAD DATU : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) memperkenalkan terminologi baharu bagi kawasan operasinya dengan menggunakan istilah ‘Kawasan Sabah Timur’ menggantikan penggunaan lama ‘Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah’.

Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata, penggunaan istilah baharu itu lebih tepat kerana ia merangkumi tiga domain utama ESSCOM meliputi darat, laut dan udara, bukan hanya kawasan pesisir pantai sebagaimana sering disalah tafsir sebelum ini.

“Ramai yang masih merujuk kawasan ini sebagai Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah.

“Namun, saya ingin menegaskan bahawa istilah yang betul kini ialah Kawasan Sabah Timur atau Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone).

“Istilah ini mencerminkan tanggungjawab ESSCOM yang lebih luas, meliputi kawalan darat, laut dan udara,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Victor berkata, langkah itu penting bagi memastikan kefahaman yang seragam dalam kalangan komuniti maritim, agensi keselamatan, pengamal media dan penyelidik yang berurusan dengan ESS Zone.

Katanya, perubahan itu bukan sekadar soal terminologi, tetapi bagi memperkukuh identiti ESS Zone sebagai kawasan keselamatan strategik yang menyeluruh di Sabah Timur.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya menggunakan istilah baharu itu dalam laporan rasmi, penerbitan akademik dan komunikasi awam bagi memastikan keseragaman maklumat dan kefahaman umum tentang fungsi ESSCOM.

Tambahnya, perubahan tersebut juga menggambarkan evolusi peranan ESSCOM dalam melaksanakan kawalan menyeluruh terhadap keselamatan Sabah Timur yang kini lebih bersifat holistik dan berpaksikan kepada keselamatan rakyat serta kedaulatan negara. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE