Read Time:1 Minute, 45 Second
KUALA LUMPUR, Eksport produk getah Malaysia ke pasaran Amerika Selatan mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 13.7 peratus tahun ke tahun kepada RM57.2 juta pada Januari 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai antara peneraju global dalam industri berkenaan. 
Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pendekatan strategik kerajaan dalam memperluas pasaran bukan tradisional, di samping mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai pembekal produk getah berkualiti tinggi yang diyakini di peringkat antarabangsa. 
Menurut kenyataan itu, Brazil kekal sebagai destinasi eksport utama dengan menyumbang 43.8 peratus daripada keseluruhan eksport ke rantau berkenaan, susulan keputusan negara itu menggantung tindakan anti-lambakan pada Disember 2025. 
Perkembangan itu membuka semula ruang pasaran kepada pengeksport Malaysia, yang kemudiannya bertindak pantas meningkatkan eksport produk bernilai tinggi seperti benang lateks dan kondom. 
Sementara itu, Argentina merekodkan pertumbuhan paling ketara dengan lonjakan 140.6 peratus kepada RM14.3 juta, didorong peningkatan permintaan terhadap sarung tangan getah dan benang lateks sejajar dengan perkembangan sektor penjagaan kesihatan negara berkenaan. Colombia pula mencatat peningkatan 31.8 peratus, dipacu oleh permintaan yang semakin tinggi bagi produk perubatan serta kelengkapan pelindung diri (PPE). 
Kementerian berkata kejayaan itu turut disokong pelaksanaan inisiatif proaktif oleh Majlis Getah Malaysia (MRC) bersama agensi berkaitan menerusi strategi pemasaran bersasar, pengukuhan jaringan antarabangsa dan sesi libat urus berterusan dengan rakan dagang global. 
Menurut kenyataan itu, walaupun ekonomi global dijangka terus berdepan cabaran termasuk ketegangan geopolitik, ketidaktentuan pasaran dan tekanan kos tenaga, kementerian kekal komited untuk memastikan industri getah negara terus berdaya tahan dan kompetitif. 
Amerika Selatan kini dikenal pasti sebagai antara pasaran berpotensi tinggi dan akan terus diberi keutamaan dalam strategi pengembangan eksport negara, dengan langkah Brazil menggantung tindakan anti-lambakan dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan lebih mampan dalam tempoh terdekat. 
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata perkembangan itu membuktikan Malaysia bukan sekadar pengeluar, sebaliknya peneraju global dalam industri getah yang terus mengembangkan pengaruh ke pasaran baharu. 
Beliau berkata dengan permintaan global yang kekal kukuh, khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan, Malaysia berada di landasan tepat untuk memperluas penguasaan pasaran dan memperkukuh kedudukan sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan getah dunia. 






