Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Dua wanita bersaudara buktikan mampu cari rezeki dengan mesin rumput

Read Time:1 Minute, 22 Second

KOTA BELUD: Dua wanita tabah dari Kampung Pirasan di sini, membuktikan bahawa kerja memotong rumput bukan lagi bidang khusus untuk lelaki, sebaliknya mampu menjadi sumber rezeki lumayan jika dilakukan dengan tekun dan keikhlasan.

Mereka ialah Marini Genang, atau lebih dikenali sebagai Kak Noi, 52, dan anak saudaranya, Sartini Arjin, 30, seorang ibu tunggal yang menyara anak-anaknya dengan penuh ketabahan.

Kak Noi sedang membuat kerja-kerja memotong rumput.

Dua beranak saudara itu telah lebih dua tahun berganding bahu mengambil upah memotong rumput di sekitar kampung, pekerjaan yang memerlukan tenaga fizikal tinggi namun dilakukan dengan semangat luar biasa.

“Kalau rezeki itu halal, tak ada sebab untuk malu,” kata Kak Noi yang dahulunya bekerja di sawah padi sebelum beralih kepada kerja memotong rumput bagi menambah pendapatan keluarga.

Menurutnya, wanita tidak harus takut untuk mencuba bidang kerja yang lazimnya diceburi lelaki, asalkan dilakukan dengan kejujuran dan niat yang baik.

“Wanita kena berani cuba apa saja kerja, asalkan jujur dan ikhlas. Jangan takut keluar dari kebiasaan,” katanya dengan penuh semangat.

Sartini sedang membuat kerja-kerja memotong rumput.

Bagi Sartini pula, kerja memotong rumput bukan sekadar mencari nafkah, tetapi simbol kekuatan dirinya sebagai seorang ibu tunggal.

“Saya mahu anak-anak nampak yang ibu mereka kuat. Jangan harap pada lelaki semata-mata. Rezeki ada di mana-mana, yang penting kita rajin berusaha,” katanya.

Katanya lagi, pengalaman hidup mengajarnya untuk sentiasa berdikari dan bersedia menghadapi cabaran hidup tanpa bergantung pada sesiapa.

Kisah dua wanita ini menjadi inspirasi kepada ramai apabila mereka membuktikan bahawa wanita Sabah juga mampu berdikari dan berjaya dalam bidang yang sering didominasi lelaki.

Dari bunyi deruman mesin rumput, lahir mesej besar tentang keberanian dan kekuatan wanita luar bandar.

LEAVE A RESPONSE