Read Time:1 Minute, 46 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Dua projek tenaga solar baharu di Sabah membabitkan kapasiti keseluruhan 28 Megawatt (MW) kini memasuki fasa awal pelaksanaan selepas dilancarkan bulan lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang berkata, projek solar terapung berkapasiti 13.21MW di Empangan Babagon setakat ini mencatat kemajuan kira-kira lima peratus.
Beliau berkata, projek berkenaan baru sahaja memulakan kerja pelaksanaan dan kemajuan semasa adalah selaras dengan jadual yang ditetapkan.
“Projek ini baru sahaja ‘kick off’ bulan lalu, jadi sekarang dalam pelaksanaan dan kerja-kerja pembinaan sedang berjalan.

“Kalau ditanya peratus kemajuan, mungkin sekitar lima peratus kerana kita baru sahaja lancarkan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih Jetama Sdn Bhd di sini pada Jumaat.
Hadir sama Datuk Faisyal Datuk Yusof Hamdain Diego.
Ahmad Naim berkata, sebuah lagi projek solar berkapasiti 15MW di Batu Sapi turut dilaksanakan secara serentak.
Menurutnya, kedua-dua projek tersebut disasarkan siap dalam tempoh kira-kira 12 bulan sekiranya pelaksanaan berjalan seperti dirancang.
“Pembinaan kedua-dua projek ini berjalan serentak seperti yang kita lancarkan baru-baru ini dan kita sasarkan ia boleh disiapkan dalam masa 12 bulan.
“Jika digabungkan kapasiti 13MW di Babagon dan 15MW di Sandakan itu, ianya akan menjadikan jumlah keseluruhan tenaga solar yang bakal dijana mencecah kira-kira 28MW,” katanya.
Bagaimanapun katanya, jumlah pengguna yang akan menerima bekalan elektrik daripada projek berkenaan bergantung kepada pengagihan tenaga oleh agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Sabah Electricity.
Mengulas cabaran dalam pelaksanaan projek, beliau mengakui sektor pembinaan sememangnya berdepan pelbagai cabaran, namun pihaknya akan berusaha memastikan projek dapat disiapkan mengikut tempoh sasaran.
“Kita cuba sedaya upaya untuk siapkan dalam tempoh 12 bulan kerana memang dalam pembinaan ada cabaran, tetapi kita akan pastikan ia berjalan sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kebimbangan mengenai kenaikan harga bahan binaan tidak dijangka memberi kesan besar kepada projek berkenaan kerana harga kebanyakan komponen telah dimuktamadkan lebih awal semasa peringkat perolehan.
Menurutnya, situasi itu membantu memastikan kos projek kekal stabil meskipun berlaku turun naik harga di pasaran. – SABAH MEDIA






