Read Time:1 Minute, 45 Second
SANDAKAN : Dua peniaga di sekitar Kampung Ulu Sapi dan Sapi Nangoh di sini telah diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan kerana disyaki menjual barang kawalan tanpa lesen yang sah.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata, tindakan itu diambil hasil pemeriksaan yang dijalankan pada 28 Januari lalu sempena pemantauan menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina 2026.
Menurutnya, kedua-dua peniaga yang beroperasi di premis berasingan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 apabila didapati menjual barangan kawalan bersubsidi tanpa memiliki lesen barang kawalan yang dikeluarkan oleh KPDN.
“Antara barangan yang disita termasuk 53 tong gas petroleum cecair (LPG), 456 kilogram gula kasar, minyak masak paket dua kilogram sebanyak 90 kilogram, minyak masak botol 3 kilogram (36 kilogram), minyak masak botol 2 kilogram (48 kilogram) serta 102 kilogram tepung gandum,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes tersebut dianggarkan berjumlah RM13,926.00.
Joe Azmi berkata, pemeriksaan yang dijalankan bertujuan memastikan bekalan serta harga barangan kawalan sentiasa terkawal, khususnya menjelang musim perayaan, di samping memastikan pematuhan undang-undang berkaitan penggunaan alat timbang yang ditentusahkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 serta penandaan harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Beliau berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga kini, KPDN Cawangan Sandakan telah melaksanakan sebanyak 1,029 pemeriksaan, melibatkan 509 pemeriksaan di kawasan bandar dan 520 di luar bandar.
“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 15 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM726,375.54.
“Daripada jumlah itu, enam kes telah dikompaun dengan kutipan kompaun berjumlah RM1,700.00, manakala sembilan kes lagi masih dalam siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan KPDN Sandakan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan di seluruh daerah bagi memastikan peniaga mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan.
Dalam pada itu, orang ramai digalakkan bertindak sebagai mata dan telinga KPDN dengan menyalurkan sebarang maklumat atau aduan melalui saluran rasmi termasuk WhatsApp 019-848 8000, Portal Aduan eAduan KPDN, talian Call Centre 1-800-886-800 serta aplikasi Ez ADU KPDN. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN SANDAKAN





