Read Time:1 Minute, 16 Second
PENAMPANG: Dua maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan sebuah motokar di Jalan Kota Kinabalu–Papar, Lampu Isyarat Sabindo, kira-kira jam 4 pagi tadi (4 Jan).
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berkenaan membabitkan sebuah 4WD dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun bersama seorang penumpang wanita berumur 27 tahun, serta sebuah motokar dipandu seorang lelaki dengan empat penumpang tempatan berusia antara 17 hingga 21 tahun.
Beliau berkata, hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motokar berkenaan memasuki persimpangan lampu isyarat lalu bertembung dengan kenderaan 4WD yang sedang bergerak lurus.
“Akibat kemalangan itu, seorang penumpang motokar berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penumpang berumur 17 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, pemandu motokar dan beberapa penumpang lain mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di hospital, manakala pemandu 4WD tidak mengalami kecederaan serius dan penumpangnya turut menerima rawatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian,” katanya.
Dalam pada itu, Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak memandu secara berbahaya demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133.






