Read Time:1 Minute, 8 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Dua beranak maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Merotai, Tawau awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 5.40 pagi melibatkan sebuah motosikal Yamaha 135LC dan sebuah Perodua Axia yang masing-masing datang dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati, pemandu Perodua Axia berusia 38 tahun bersama empat penumpang dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju ke arah Merotai.
“Manakala motosikal yang ditunggang lelaki berumur 54 tahun bersama anak perempuannya berusia 24 tahun dalam perjalanan dari Kampung Melati Burut ke tempat kerja anaknya di Ladang Guthrie,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, motosikal diseret ke bahu jalan sebelah kiri manakala kereta terbabas ke parit di tepi jalan. Penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.
Bagaimanapun, pemandu serta empat penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan.
Dalam pada itu, Champin turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi had laju yang ditetapkan.
“Sikap berhemah ketika memandu mampu menyelamatkan nyawa,” tegasnya.