Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Jenayah

Dua Lelaki Warga Asing Ditahan, Disyaki Curi Kabel Telekom di Kota Belud

KOTA BELUD: Polis menahan dua lelaki bukan warga tempatan berusia 25 dan 27 tahun kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel Telekom dalam satu operasi di daerah ini, tengah hari Khamis.

Tangkapan dilakukan hasil kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, ketika sekatan jalan raya Op Perdagangan di Jalan Ranau Bypass berhampiran Kampung Rangalau.

Menurut kenyataan polis, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna oren yang dipandu dalam keadaan mencurigakan gagal berhenti di sekatan jalan raya sebelum melarikan diri, sekali gus mencetuskan aksi kejar-mengejar sehingga ke Kampung Bokilong.

Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan kenderaan yang dipercayai digunakan oleh suspek, manakala beberapa rakan lain berjaya meloloskan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan, polis menemui beberapa gulungan kabel Telekom di bahagian belakang kenderaan. Suspek gagal memberikan keterangan berhubung pemilikan kabel tersebut,” menurut kenyataan itu.

Kesemua suspek bersama kenderaan dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Belud untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 22A Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah (OKKNS) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Polis Daerah Kota Belud menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah, khususnya yang menjejaskan kemudahan awam dan keselamatan masyarakat.

LEAVE A RESPONSE