Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Dua lelaki bebas tuduhan miliki 41.9kg dadah

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Dua lelaki dibebaskan daripada tuduhan memiliki 41.9952kg syabu oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Zaini Fishir @ Fisal melepas dan membebaskan Mohd Sifihi Yusof dan Sydzreel Fahmy Shamsury selepas mendapati pihak pendakwa gagal memastikan kehadiran saksi utama yang penting bagi kes tersebut.

Mohd Sifihi dan Sydzreel didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 41,995.2 gram pada 27 Februari 2025, jam lebih kurang 9 malam, bertempat di tempat letak kereta aras bawah, pusat beli belah ITCC, Penampang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang daripada lima tahun, dan hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mohd Sifihi dan Sydzreel berada dalam tahanan sejak mereka ditahan pada 27 Februari 2025.

Enam saksi pendakwaan telah memberi keterangan sejak perbicaraan bermula pada 19 Februari lalu, namun pihak pendakwaan belum menutup kes mereka kerana dua saksi lagi, iaitu Pegawai Penyiasat dan Pegawai Serbuan, belum dipanggil.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Pegawai Penyiasat telah meletakkan jawatan dan keberadaannya tidak dapat dipastikan, manakala Pegawai Serbuan kini ditahan bagi siasatan berasingan.

Dalam penghakimannya, Zaini menekankan bahawa kehadiran Pegawai Serbuan adalah sangat penting kerana terdapat persoalan fakta yang timbul sepanjang perbicaraan yang hanya boleh dijelaskan oleh beliau sebagai pegawai utama semasa serbuan.

Hakim juga menyatakan bahawa walaupun pihak pendakwa diberi beberapa peluang, mereka gagal menghadirkan Pegawai Serbuan ke mahkamah tanpa penjelasan memuaskan.

Mahkamah turut mendapati bahawa bukti yang dikemukakan, termasuk rakaman CCTV dan laporan DNA berkaitan Toyota Land Cruiser yang diserbu, menimbulkan persoalan mengenai pemilikan, kawalan, dan jagaan yang tidak dapat diselesaikan tanpa keterangan pegawai serbuan.

Mahkamah memutuskan bahawa pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) tidak sesuai, sebaliknya memberikan pelepasan dan pembebasan (DAA) kepada Mohd Sifihi dan Sydzreel.

Mohd Sifihi dan Sydzreel diwakili oleh peguam Mohd Azhier Farhan Arisin.

LEAVE A RESPONSE