Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Dua kes kebakaran di Sabah, mangsa rentung di Kudat dan Semporna


Read Time:1 Minute, 26 Second

KUDAT: Sepasang suami isteri warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat di Kampung Lausan, Batu 4, dekat sini, semalam (23 Jan).

Mangsa lelaki berusia 74 tahun manakala isterinya 73 tahun ditemui di bilik tidur selepas kediaman mereka terbakar sepenuhnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.58 malam sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 12.36 tengah malam.

Katanya, pasukan bomba berdepan kesukaran memasuki kawasan kejadian berikutan laluan jambatan sempit serta halangan wayar elektrik rendah.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air daripada tangki jentera bomba.

Mangsa pertama berjaya dikeluarkan jam 2.00 pagi manakala mangsa kedua jam 3.50 pagi.

Operasi melibatkan seramai 18 anggota JBPM daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat serta Pasukan Bomba Sukarela Kampung Ayer, dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan RELA. Operasi dikawal pada jam 1.30 pagi dan tamat sepenuhnya jam 4.47 pagi.

Sementara itu, di lokasi berasingan di Semporna, seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Munairaya Baluan, 58 tahun, ditemukan rentung dalam kebakaran yang melibatkan tujuh buah rumah setinggan di Kampung Perigi pada Sabtu (24 Jan).

Mangsa ditemui di ruang bilik rumah pertama yang terbakar.

Pasukan bomba menemui mayat mangsa rentung merupakan seorang wanita OKU penglihatan terlibat dalam kebakaran membabitkan tujuh buah rumah di Kg Perigi, Semporna pagi tadi. – Foto ihsan JBPM Sabah
Tujuh buah rumah musnah dalam kebakaran di Kg Perigi, Semporna pagi tadi.

Operasi pemadaman dikawal pada jam 11.57 pagi dan tamat sepenuhnya jam 2.05 petang, melibatkan sembilan anggota BBP Semporna dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta Jabatan Air.

LEAVE A RESPONSE